Sanusi beri bayangan tetap bertanding dalam PRN
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan tindakan perundangan yang dikenakan terhadapnya hari ini tidak menghalang dia menjadi calon pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik minggu lepas.
Mahkamah menetapkan 4 Okt untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
“Alhamdulillah Oktober, ni dan (sempat) masuk PRN dulu...,” katanya kepada pemberita selepas prosiding kedua kes itu.
Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya PN mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh masing-masing membenarkan Muhammad Sanusi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan mengarahkannya tidak membuat sebarang komen berhubung kes sehingga kes berkenaan selesai serta menetapkan 4 Okt untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Muhammad Sanusi membayar wang jaminan berjumlah RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu selepas selesai prosiding berkenaan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/3f2df43c61f65aabfd16076d0972f124.jpg)
