Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu yang dilaporkan berkata, kadar tol di Projek Jalan Terowong dan Pengurusan Air Banjir (Smart) mungkin lebih tinggi daripada lebuhraya lain, bertujuan untuk menimbulkan keresahan di kalangan pengguna.

Katanya, laporan Bernama semalam memetik Samy sebagai berkata, kadar tol laluan Smart akan lebih tinggi daripada lebuhraya lain dan mungkin ditetapkan setinggi RM4.

"Ini merupakan taktik Samy untuk menimbulkan keresahan di kalangan pengguna jalanraya dan seterusnya mengumumkan kadar asal yang lebih rendah sebanyak RM2 supaya beliau kelihatan berjasa," kata Tian Chua dalam satu kenyataan hari ini.

"Perjanjian tersebut telah ditandatangani pada bulan Jun 2004 dan kadar tol telahpun ditentukan.

"Samy kini bukan sahaja tidak mengumumkan kadar secara rasmi tetapi cuba mempermainkan emosi rakyat, " tegas Tian Chua.

Beliau berkata, , SMART Sdn Bhd membelanjakan RM0.6 billion untuk membina terowong tersebut manakala kerajaan pula memperuntukkan sebanyak RM1.3 billion.

Oleh itu, tegasnya, sebahagian besar pendapatan dari kutipan tol seharusnya disalurkan kepada kerajaan dan rakyat, dan bukannya kepada SMART Sdn Bhd, seperti yang dibenarkan oleh perjanjian.

Pikul beban kewangan

Samy, tegasnya, harus memberitahu pengguna mengenai kadar sebenar tol serta tahap keselamatan terowong tersebut yang mula dibuka secara percuma selama sebulan mulai semalam.

Tian Chua juga meragui pihak manakah yang harus memikul beban kewangan yang wujud kerana projek tersebut memakan masa lebih setahun untuk disiap dari tarikh yang ditetapkan lebih awal, iaitu pada tahun 2006.

"Pihak manakah pula akan menanggung perbelanjaan di luar jangkaan serta pampasan kadar laluan percuma selama sebulan ini?" soalnya.

Tambah beliau, banyak kelemahan struktur membabitkan bangunan kerajaan baru-baru ini juga membuat orang ramai kurang yakin terhadap keselamatan ketika menggunakan terowong tersebut.

Angkatan Muda Keadilan (AMK), katanya, telah mendedahkan kadar tol Smart pada 28 Februari lalu iaitu bermula dengan RM2 dan meningkat RM1 setiap lima tahun hingga ke RM7 pada penghujung tahun 2042.

Tian meragui mengapa kerajaan yang memperuntukkan RM1.3 bilion, membenarkan syarikat konsesi mengaut kesemua keuntungan.

Katanya, ia memandangkan jangkaan kos pembinaan akan dikutip balik menjelang 2023 manakala kenaikan kadar tol masih dibenarkan dari RM5 ke RM6 pada tahun 2025.