Seorang pemimpin MIC hari ini menafikan dakwaan Perikatan Nasional (PN) Selangor yang mengatakan lebih ramai ahli parti komponen BN itu akan keluar parti untuk menyokong PN.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC L Sivasubramaniam berkata kenyataan PN Selangor itu bersifat provokasi dan politik murahan menjelang pilihan raya negeri (PRN).

"Ini PRN dah dekat ini. Bulan depan. Maka, kita boleh lihat PN dakwa ramai ahli akan keluar dari MIC masuk gabungan itu.

"Ini cuma permainan politik gabungan itu menjelang PRN. Tidak benar sama sekali.

"Kalau benar, kami minta PN buktikan," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika mengulas hantaran Facebook PN Selangor bahawa ramai ahli MIC akan keluar parti itu.

Dalam catatan Facebook itu, PN Selangor mendakwa bahawa semakin ramai ahli MIC terutama di Selangor tidak bersetuju dengan kepimpinan parti, memilih untuk keluar parti, seterusnya bersama PN bagi membela nasib kaum India.

"Pakatan Harapan (PH) pula dilihat sudah tidak lagi relevan untuk membawa suara kaum India kerana lebih banyak memberikan janji berbanding tindakan.

"Secara tradisi, kaum India pernah menjadi bank undi kepada BN apabila MIC menjadi payung yang bertanggungjawab menegakkan hak dan isu kaum India.

"Bagaimanapun, sejak 2008, selepas kejatuhan BN di Selangor, MIC kian kehilangan undi kaum India dan parti ini terus bergelut untuk memenangi hati kaum ini semula.

"Perkara ini berlaku akibat kesetiaan pengundi India ketika itu disalahgunakan menyebabkan kaum ini beralih sokongan," kata hantaran itu.