Muhammad Sanusi Md Nor berkata dia boleh dihubungi oleh pihak berkuasa pada bila-bila masa jika mahu mendapatkan kerjasamanya dalam siasatan mereka.

Menteri besar sementara Kedah itu bahkan memberitahu, jika dia pihak berkuasa gagal menghubunginya melalui panggilan telefon, mereka boleh berkomunikasi melalui WhatsApp.

"Boleh hubungi saya melalui WhatsApp kalau saya tak sempat jawab panggilan telefon," katanya seperti dilaporkan Harian Metro petang ini.

Sanusi kini menjadi perhatian ramai selepas didakwa dengan dua pertuduhan membabitkan kenyataan menghasut ekoran kenyataannya mengenai Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Selangor.

Dia didakwa di dua Mahkamah Sesyen Selayang pada 18 Julai lalu dan mengaku tidak bersalah.

Pengarah Pilihan Raya PN itu juga dikaitkan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas aktiviti perlombongan haram bahan nadir bumi (REE).

Semalam media melaporkan dua individu termasuk ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Inc (MBI) Kedah ditahan reman bagi membantu siasatan kes itu.

Hari ini Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu media, Sanusi akan dipanggil untuk diambil keterangannya dalam siasatan kes REE tersebut.

Antara lain Azam berkata kenyataan Sanusi diperlukan kerana ahli politik terbabit menurunkan tandatangan pada sepucuk surat yang tular.

Menurut Sanusi dia menjanjikan kerjasama yang penuh kepada agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan tersebut.

"Saya akan beri kerjasama sepenuhnya kepada apa saja penyiasatan pihak berkuasa.

"Saya sebut banyak kali sejak jadi menteri besar - saya dan pejabat saya dibuka untuk disiasat SPRM atau mana-mana agensi.

"Boleh siasat 25 jam sehari, lapan hari seminggu," katanya.