Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) kecewa dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Shafie Apdal bahawa harga barangan keperluan di Malaysia naik kerana harga di negara maju juga meningkat.

Presiden Cassa, Dr Jacob George berkata, kenyataan itu tidak masuk akal kerana ia membandingkan Malaysia dengan negara maju di mana taraf hidup dan pendapatan perkapita adalah berbeza.

"Kenyataan seperti ini boleh mengelirukan pengguna dan mengalakkan kenaikan harga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru ini, Shafie berkata, harga barangan keperluan di Malaysia naik kerana harga di negara maju juga meningkat.

Dr Jacob berkata, ketiadaan perbincangan antara kerajaan dan pihak swasta juga telah menyebabkan berlaku kenaikan harga barangan runcit di pasaran.

Katanya, tindakan sektor perkhidmatan menaikan harga minyak, tol, elektrik dan air mendorong pihak lain turut menaikkan harga.

Menurutnya, kenyataan politik yang dikeluarkan oleh kerajaan berkaitan dengan kenaikan gaji kakitangan awam juga merupakan punca kenaikan harga,

Beliau berkata, kenyataan tersebut telah memberi peluang golongan tertentu untuk menaikkan harga barangan runcit.

Sebab munasabah

Akibatnya, kata beliau, golongan berpendapatan rendah menjadi mangsa dalam kenaikan tersebut kerana gaji mereka tidak cukup tetapi perbelanjaan pula semakin meningkat.

Dr Jacob berkata, masalah ini dapat diatasi jika kerajaan menetapkan Indeks Harga Pengguna (IHP) iaitu satu prosedur yang tetap bagi menunjukkan sebab munasabah dan terperinci untuk menaikkan harga.

Katanya, dengan adanya IHP, harga barangan dapat dikawal dan hanya boleh dinaikkan jika pengeluar mengalami kerugian.

Kos pengangkutan, katanya telah semakin meningkat dan ini membebankan mereka yang menggunakan pengangkutan awam.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) Salahuddin Ayub berkata, kenaikan harga minyak menjadi punca kepada kenaikan harga barangan di pasaran.

Katanya, harga barang telah dimanipulasi oleh pihak tertentu seperti semasa krisis gula berlaku, harga bekalan itu akan naik.

"Kenaikan harga barang seperti minyak masak dan susu tin menyusahkan dan meningkatkan kos hidup golongan yang berpendapatan rendah dan yang tinggal di bandar," katanya.

Masalah ini, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, dapat diatasi sekiranya kerajaan mengurangkan harga minyak.