Lepas tak tercalon, Zafrul sedia kempen untuk calon lain
Selepas tidak dinamakan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata dia akan berkempen untuk calon lain.
Dia berkata sebagai ahli MKT parti dan ketua Umno Kota Raja, dia mahu Umno bertapak lebih kukuh di Selangor dan membuktikan ia tidak bergantung pada PH semata-mata.
Namun pada masa sama Tengku Zafrul menyerahkan strategi mengenai cara terbaik untuk mencapai matlamat ini kepada kebijaksanaan kepimpinan parti.
“Apabila diputuskan bahawa saya tidak akan bertanding, ia jelas bermakna dalam hemat kepimpinan, peranan saya bukan sebahagian daripada strategi tersebut.
"Tetapi sebagai ahli parti - saya seorang party man - saya tetap akan membantu calon kerajaan perpaduan yang bertanding, bukan sahaja di Selangor tetapi juga di lima negeri lain yang terlibat dalam pilihan raya," katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini nama Tengku Zafrul dispekulasikan bakal diturunkan sebagai calon BN di Selagor, sekali gus membuka polemik mengenai kemungkinan dia adalah calon menteri besar yang baru.
Sumber dalam Umno dan PH sebelum ini memberitahu Malaysiakini, rancangan awal mereka ialah untuk meletakkan Tengku Zafrul di Sungai Kandis yang kini diwakili PKR.
Bagaimanapun PKR didakwa enggan melepaskan kerusi yang disandangnya selama empat penggal berturut-turut itu.
Nama bekas ahli perbankan itu kemudian dikaitkan dengan kawasan Dusun Tua yang disandang DAP. Dikatakan pada peringkat awal DAP bersedia memberi laluan kepada Tengku Zafrul.
Bagaimanapun, keadaan tidak menggalakkan apabila jentera parti DAP tempatan mengetahui bekas ADUN Semenyih, Johan Abdul Aziz sebalikya akan bertanding di situ.
Acara pengumuman calon BN di Kuala Lumpur malam ini mengesahkan Johan akan bertanding Dusun Tua, menggantikan penyandang Edry Faizal Eddy Yusof dari DAP.
Dusun Tua ialah kerusi majoriti Melayu dengan komposisi kira-kira 63 peratus pengundi Melayu, diikuti Cina (28 peratus), India (tujuh peratus), dan lain-lain (dua peratus).
Ia pernah menjadi kerusi tradisi Umno sehingga 2013 apabila Razaly Hassan dari PAS menang dalam PRU ke-13, menewaskan penyandangnya Ismail Sani.
Razaly pula dikalahkan oleh Edry Faizal pada PRU 2018 dengan majoriti 10,422 undi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/1c234ff6efc1496f7f77b12f9d18957a.jpg)
