Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan bahawa ahli-ahli Parlimen harus bersikap serius dalam menangani masalah rakyat dan bukannya berkelakuan seperti 'badut sarkas'.

Dalam suratnya kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Lim berkata, ahli Parlimen tidak harus 'main-main' seperti 'badut sarkas' dengan mengeluarkan bahasa kesat menghina maruah wanita dan martabat Parlimen sebagai institusi paling unggul dalam negara.

"Kami telah menghantarkan memorandum bantahan kepada YAB Datuk Seri semalam tentang tingkahlaku tidak bertanggungjawab dan biadab dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyakitkan hati dan menghina semua kaum wanita dan rakyat Malaysia serta menjatuhkan imej Parlimen.," katanya

Lim merujuk kepada kenyataan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) dan Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) terhadap Fong Poh Kuan (DAP-Batu Gajah) semasa perbahasan hangat tentang kebocoran di bangunan Parlimen pada pada 9 Mei lalu.

Katanya, perkataan "Mana ada bocor? Batu Gajah pun bocor tiap-tiap bulan juga" amat memalukan dan menghina semua wanita dan bukan sesuatu yang boleh diketepikan begitu sahaja.

"Kami agak kecewa YAB Datuk Seri menganggap perkara ini sesuatu perkara kecil yang harus dilihat ringan secara berseloroh.

Menghina mahkamah

"Kami tidak dapat bersetuju pandangan ini kerana ia harus dilihat dengan serius kerana semua wakil rakyat diperwajibkan membahaskan masalah negara dan bukanlah berseloroh dan menggunakan kaum wanita sebagai objek seks atau penghinaan," tegasnya.

Menurut Lim lagi, kenyataan tidak bertanggungjawab itu dikecam umum baik di dalam mahupun di luar negara.

"Sekiranya YAB Datuk Seri lihat penghinaan ini bukan dari sudut politik tetapi seorang suami, anak dan bapa patutlah tindakan keras diambil ke atas kedua-dua wakil rakyat ini.

"Demi membuktikan pandangan menghina jantina wanita ini tidak didokong oleh BN, YAB Datuk Seri harus memecat mereka daripada BN. Keengganan YAB Datuk Seri enggan meminta mereka menarik balik atau meminta maaf, tidak boleh diterima," kata Lim.

Sekurang-kurangnya, kata beliau, tindakan keras seperti menggantung gaji harus diambil demi memulihkan martabat Parlimen sebagai forum tinggi membincangkan dan menyelesaikan masalah negara dan rakyat.

DAP anjur forum

Sementara itu DAP akan menganjurkan sebuah forum yang bertajuk 'Hormati Maruah Wanita, Ke Arah Parlimen Kelas Pertama Dunia!' di ibunegara malam esok.

Forum itu akan bermula jam 7.30 malam di Dewan YMCA, di No.95, Jalan Padang Belia, Off Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, berhadapan dengan stesen KL Sentral.

Ahli penalnya termasuk Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan; Pegarah Eksekutif WDC; dan Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (Zainah Anwar).

Manakala tokoh-tokoh politik yang akan bercakap di forum tersebut ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

Dua ahli Parlimen wanita DAP Teresa Kok Suh Sim (Ahli Parlimen Seputeh) dan Fong Po Kuan (Ahli Parlimen Batu Gajah) turut dijemput.

Forum tersebut akan dipengerusikan oleh Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua.