Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salahuddin Ayub kembali ke rahmatullah
Diterbitkan:  Jul 23, 2023 9:55 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub meninggal dunia pada usia 61 tahun malam ini.

Anak kepada allahyarham timbalan presiden Amanah itu, Fatihah Salahuddin memaklumkan pemergian bapanya pada hantaran di media sosial.

"Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023," katanya.

Ahli parlimen Pulai dua penggal itu (2018, 2022) telah dikejarkan ke hospital di Alor Setar pada Jumaat dan doktor mengesan dia mengalami pendarahan otak.

Allahyarham telah menjalani pembedahan kecemasan dan sejak itu diletakkan bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Salahuddin meninggalkan seorang balu Fatimah Taha dan enam orang cahaya mata.

Dalam perkembangan berkaitan, setiausaha akhbar kepada menteri KPDN, Syakirin Husnal memberitahu jenazah allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibunya di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai di Johor.

"Pihak keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham selama ini.

Inisiatif Rahmah

"Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

"Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang yang beriman," katanya pada satu kenyataan.

Salahuddin juga pernah dua kali berkhidmat sebagai ahli parlimen Kubang Kerian.

Sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, Salahuddin memperkenalkan inisiatif Rahmah yang bertujuan menyediakan barangan dan perkhidmatan mampu milik kepada orang ramai.

Ini bermula dengan sajian Menu Rahmah RM5 dan sejak itu telah berkembang kepada barangan dan perkhidmatan lain seperti insurans, cermin mata.

Anak jati Johor itu sebelum ini berkhidmat sebagai menteri pertanian dan industri asas tani di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang pertama.

Lihat Komen
ADS