Saya tidak pernah mohon maaf, kata MP Jasin
Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof menafikan laporan yang disiarkan dalam The Star Online hari ini bahawa beliau telah memohon maaf berhubung kenyataannya yang didakwa menghina wanita di Parlimen pada 9 Mei lalu.
Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof menafikan laporan yang disiarkan dalam The Star Online hari ini bahawa beliau telah memohon maaf berhubung kenyataannya yang didakwa menghina wanita di Parlimen pada 9 Mei lalu.
Ketika dihubungi, Mohd Said berkata, beliau tidak pernah memohon maaf dan tidak akan memohon maaf berhubung kenyataan tersebut.
Mohd Said dan seorang lagi ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) didakwa mengeluarkan kenyataan yang menghina Ahli Parlimen DAP dari Batu Gajah, Fong Poh Kuan (DAP-Batu Gajah) semasa perbahasan hangat tentang kebocoran di bangunan Parlimen.
Kedua-dua didakwa menuturkan perkataan "Mana ada bocor? Batu Gajah pun bocor tiap-tiap bulan juga" yang disifatkan oleh pihak pembangkang sebagai menghina kaum wanita.
Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, Mohd Said menyifatkan kenyataan itu sebagai "sesuatu yang biasa berlaku dalam sidang Dewan Rakyat".
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Jasin itu berkata, beliau tidak kesal mengeluarkan kenyataan tersebut.
"Dalam sidang dewan semua perkara boleh dibangkitkanbermakna dia boleh kata saya dan saya kata dia.
Jumpa Shahrizat
"Isu ini dijadikan besar oleh orang yang tidak berada di dalam dewan yang tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku," tambahnya.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan menemui Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil, Jumaat ini berhubung isu tesebut
Mohd Said berkata, dalam pertemuan itu nanti, beliau akan menjelaskan apa yang berlaku kepada Shahrizat selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal wanita.
Katanya, beliau akan membuat kenyataan selanjut selepas mengadakan perbincangan dengan shahrizat nanti.
Bung Mokhtar tidak menjawab telefon ketika dihubungi malaysiakin i, tetapi akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily memetik beliau menafikan laporan tersebut.
"Mana ada," katanya dalam laporan akhbar tersebut.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Shahrizat Abdul Jalil akan menemui dua ahli Parlimen BN itu di pejabatnya Jumaat ini, selepas diberi mandat oleh kabinet untuk membuat susulan berhubung isu tersebut.
"Kabinet telah memberi mandat kepada saya dan telah meminta untuk menyusul dan melihat perkara ini," kata Shahrizat dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan itu beberapa badan bukan kerajaan dan politik seperti Sister In Islam, Pertubuhan Bantuan Wanita, Persatuan Tindakan Wanita, Wanita MCA, Pas dan Parti Keadilan Rakyat mendesak supaya Anggota Parlimen berkenaan memohon maaf secara terbuka.

