Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perlu ada caruman KWSP RM240,000 untuk bersara secara bermaruah

Rakyat di negara ini perlu mempunyai simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekurang-kurangnya RM240,000 untuk bersara pada usia 55 tahun secara bermaruah.

Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata anggaran simpanan caruman berkenaan membolehkan seseorang menampung kehidupan bagi tempoh 20 tahun selepas bersara dengan kadar perbelanjaan RM1,000 sebulan.

“Sekiranya seseorang berpencen pada umur 55 tahun, ditambah 20 tahun kehidupan selepas berpencen menjadikan keseluruhannya ialah 75 tahun, iaitu merupakan jangka hayat rakyat Malaysia,” katanya selepas lawatan ke Ibu Pejabat KWSP Kota Bharu.

Ahmad berkata antara cadangan yang diketengahkan kepada rakyat untuk menambahkan simpanan mereka ialah dengan melakukan caruman sukarela menerusi skim i-Saraan KWSP.

Dia berkata setakat Jun lalu lebih 500,000 pencarum di seluruh negara melakukan caruman melalui caruman i-Saraan KWSP, selain pada masa yang sama kerajaan berhasrat penyertaan berkenaan dapat dimaksimumkan.

“Kerajaan ingin memastikan penyertaan maksimum rakyat menerusi caruman ini, terutamanya mereka yang berada dalam sektor tidak formal iaitu peniaga, nelayan, pesawah, petani, penoreh getah dan sebagainya.

"Malah mereka yang bekerja kerajaan juga disyorkan untuk mencarum, walaupun mempunyai pencen.

“Melalui caruman ini juga pencarum layak menerima insentif yang ditawarkan oleh kerajaan sebanyak maksimum RM300 secara tahunan sekiranya mereka mencarum sekurang-kurangnya RM2,000 setahun selain dividen sehingga mencecah lima peratus,” katanya.

Ahmad Maslan berkata sebanyak 26 kaunter bergerak KWSP turut di lancarkan pada 4 Julai lalu di wilayah Timur, terutama di kawasan pedalaman untuk menghebahkan mengenai caruman berkenaan selain perkara berkaitan.

“Menerusi kaunter bergerak itu, pencarum mahupun orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat persaraan serta pengiraan simpanan persaraan bagi membantu menilai kecukupan simpanan apabila bersara nanti sekali gus untuk mendapatkan persaraan yang lebih baik,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS