Menteri besar sementara Muhammad Sanusi Md Nor ketika mengesahkan penahanan salah seorang pembantunya berkata dia tidak pun merasa terkejut.

"Saya rasa macam itu pasal satu-satunya hasil daripada brainstorm Pakatan Harapan (PH) untuk merebahkan Perikatan Nasional (PN) adalah isu unsur nadir bumi (REE) sebab itu dia pulun tak apalah, buatlah. Kita tak ada masalah apa.

"Saya relaks sahaja dan suruh semua siapa yang dipanggil bagi keterangan (untuk bekerjasama). Apa yang depa (mereka) mahu, kita cerita.

"Kita tak ada apa nak dibimbangkan. Selama kita benar tiada apa yang perlu dikhuatirkan. Jangan takut, jangan gentar kita bukan bangsa penunduk," katanya seperti dipetik Harian Metro.

Sanusi menjawab soalan sama ada tangkapan terbaru itu ada kaitan atau tidak dengan dua individu yang ditahan SPRM berhubung projek perlombongan haram itu.

SPRM sedang menyiasat aktiviti perlombongan unsur nadir bumi di Bukit Enggang, Sik, berikutan aduan Umno Kedah, penduduk tempatan dan kumpulan pengkritik Sanusi.

Ia turut menahan seorang pegawai kanan di Menteri Besar Kedah Incorporated serta pengarah syarikat berhubung siasatan itu.

Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Sanusi juga akan dipanggil untuk disoal siasat.

Sanusi berkata dia sedia untuk disiasat "25 jam sehari, lapan kali seminggu."

Mengulas penahanan pembantunya, Sanusi berkata dia tidak mempunyai butiran dan dimaklumkan mengenai perkara itu pagi tadi.

"Saya pun dimaklumkan pagi ini dia ditahan untuk membantu siasatan, bukan ditahan kerana bersalah. Saya tak tahu dia salah apa. Tak apalah bagi selesai siasatan dahulu.

"Dia pun tak maklum apa-apa (mungkin) dia tak boleh maklumlah kot. Usaha-usaha itu semakin hari semakin rancak nampaknya," jelasnya lagi.

Kedah antara enam negeri yang bakal mengadakan pilihan raya pada 12 Ogos depan.