Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian Pelancongan tak endahkan mesyuarat PSSC
Diterbitkan:  Jul 25, 2023 8:00 AM
Dikemaskini: 1:37 AM

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) tidak menghantar wakil untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi (PSSC) ke-15 semalam bagi membincangkan kekecohan membabitkan seorang warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Jun lalu.

Menurut Bernama, PSSC telah memanggil wakil daripada kementerian dan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) untuk memberikan maklumat berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing dikatakan mempunyai komitmen yang tidak dapat dielakkan, selain telah dinasihati oleh peguam bahawa sebarang kenyataan tidak sesuai dikeluarkan kerana insiden itu masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, menurut kenyataan PSSC, prosiding itu tidak akan menyentuh mana-mana siasatan jenayah yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau PDRM, justeru tidak wujud pertindihan siasatan antara jawatankuasa tersebut dan SPRM atau PDRM.

“Adalah menjadi keperluan Motac hadir untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa ini mengenai isu-isu berkaitan pengendalian proses NTL serta masalah bagi pelancong yang dikenakan notis NTL pada mesyuarat yang akan ditetapkan kelak,” kata jawatankuasa itu.

PSSC memaklumkan prosiding semalam menyentuh isu kekangan pengendalian proses Notis Penolakan Masuk (NTL) serta masalah bagi pelancong yang dikenakan notis NTL, aduan orang awam mengenai proses NTL dan cadangan penambahbaikan undang-undang selain sistem sedia ada.

Menurut jawatankuasa itu, wakil Matta yang hadir memberi penerangan ialah presidennya iaitu Nigel Wong, bekas Presiden Tan Kok Liang, Pengurus Besar Maziah Mihat, Exco Kerja Khas Hamzah Rahmat serta Naib Presiden Penyelidikan dan Teknologi Mohd Hizzat Mohd Shah.

Kenyataan itu menyebut prosiding berikutnya dijadualkan pada Rabu ini dan akan dibahagi kepada dua sesi iaitu penerangan daripada Kementerian Pengangkutan serta Malaysia Airports Holding yang disusuli oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen.

Mengikut terma rujukan PSSC, jawatankuasa itu mengadakan prosiding untuk menyiasat isu berkaitan undang-undang sekatan migran seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen (1959/1963) dan proses NTL.

Prosiding itu ditubuhkan untuk menyiasat dan memahami sebarang isu berkaitan perundangan sedia ada dan memberi maklum balas kepada kerajaan tentang cara menambah baik undang-undang atau mencadangkan pindaan kepada Akta Imigresen dan bagaimana NTL diuruskan.

Pada 29 Jun lepas, kekecohan berlaku di KLIA membabitkan Tiong yang dikatakan cuba ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang itu.

Menurut menteri itu, kertas pelawat itu adalah teratur dan mendakwa dia adalah mangsa yang cuba diperasugut  yang ingin didedahkannya.

Warga China itu akhirnya dibenarkan masuk berikutan campur tangan Tiong.

Lihat Komen
ADS