Ong: Zafrul berkemungkinan mangsa populariti sendiri
Ahli Majlis Tertinggi Umno Tengku Zafrul Aziz berkemungkinan digugurkan sebagai calon untuk pilihan raya negeri (PRN) Selangor kerana popularitinya yang semakin meningkat, kata bendahari DAP Selangor Ong Kian Ming.

Bercakap di webinar ISEAS-Yusof Ishak Institute mengenai PRN 12 Ogos ini atas kapasitinya sebagai felo institut itu, Ong membuat spekulasi bahawa Zafrul, bekas jurubank kanan dengan hubungan akrab dengan kerabat diraja menjadi ancaman dan membimbangkan pemimpin Umno tertentu.
"Zafrul menikmati populariti di peringkat nasional dan negeri. Dia menunjukkan prestasi yang baik semasa tempoh Covid-19. Dia akan menjadi aset bukan sahaja untuk Umno tetapi juga Pakatan Harapan.

“Seperti yang dibincangkan oleh (bekas ketua Pemuda Umno) Khairy Jamaluddin dan (bekas ketua penerangan BN) Shahril Hamdan dalam podcast mereka, mereka berkata Zafrul mungkin disekat oleh Pengerusi Umno negeri Megat (Zulkarnain Omardin) kerana dia tidak mahu berada dalam situasi apabil Zafrul memenangi kerusi dan akan menjadi lebih senior daripada Megat.
"(Presiden Umno) Zahid (Hamidi) juga tidak mahu mendesak Zafrul, jadi ini juga menunjukkan jenis cabaran dalam Umno. Zafrul cukup popular di kalangan orang ramai, jadi Zahid mungkin bimbang Zafrul mungkin akan n menjadi lebih menonjol dalam Umno," kata Ong.

Ong mengupas topik bertajuk "Hati lawan fikiran dalam perjuangan untuk Selangor". Dia ditemani oleh Marzuki Mohamad, atas kapasitinya sebagai profesor madya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Marzuki pernah menjadi setiausaha sulit kepada perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.
Ong memberitahu forum itu bahawa pengerusi Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh melobi untuk Zafrul, tetapi ini juga tidak menjadi kenyataan.
Katanya, ini mungkin disebabkan Anwar tidak mahu terheret dalam isu lanjut soal menamakan calon Menteri Besar Selangor sekiranya PH-BN memenangi pilihan raya negeri 12 Ogos nanti.

“Mungkin Anwar sendiri takut jika Zafrul menang (kerusi di Selangor), dia dilihat sebagai calon Menteri Besar yang disenangi oleh pihak istana dan ini akan menimbulkan masalah kepadanya,” kata Ong.
Zafrul sebelum ini disebut-sebut sebagai calon menteri besar Selangor yang berpotensi daripada Umno.
Bagaimanapun, di sebalik disebut-sebut sebagai mungkin bertanding sama ada di kerusi DUN Sungai Kandis atau DUN Dusun Tua, nama Zafrul bukanlah antara calon yang diumumkan Zahid minggu lalu.

Sementara itu, dalam isu berkaitan, Ong turut mengkritik barisan calon DAP di Selangor yang diumumkan pucuk pimpinan parti semalam.
Menurut bekas ahli parlimen Bangi itu, senarai tersebut kekurangan calon Melayu dan ini adalah satu "tamparan" kepada DAP, terutama selepas kerusi DUN Dusun Tua mereka - yang disandang oleh wakil rakyat Melayu DAP - diserahkan kepada Umno.
“Dalam barisan yang diumumkan semalam, kita kini hanya mempunyai satu calon Melayu daripada 15 orang iaitu Jamaliah Jamaluddin bagi Bandar Utama yang adalah kerusi DUN majoriti Cina.

"Ini pasti satu tamparan kepada DAP. Kami mahukan lebih banyak kepelbagaian, lebih ramai calon Melayu."
Mengenai isu kerusi DUN Dusun Tua, Ong mendakwa keputusan menyerahkannya kepada Umno dibuat oleh Anwar selepas perbincangan dengan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Menurut Ong, kedua-dua pemimpin tertinggi PH itu bersetuju dengan konsesi tertentu akan diberikan kepada DAP kerana melepaskan kerusi tersebut. Ini termasuk jaminan bahawa parti itu akan mendapat jawatan speaker DUN Selangor jika mereka terus berkuasa di negeri itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/9eaa43f7911b6864b646042b8eee43af.jpg)
