Seorang pemerhati politik hari ini mengingatkan parti-parti yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang supaya tidak mengambil mudah terhadap Muda dan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap dalam satu webinar, Marzuki Mohamad berkata walaupun Muda mungkin tidak dapat memenangi sebarang kerusi, parti itu berpotensi memecahkan undi serta memberikan saingan kepada parti utama yang bertanding.

"Saya setuju dengan (rakan ahli panel) Ong Kian Ming bahawa Muda mungkin tidak mempunyai banyak impak untuk meraih undi untuk parti itu dan menang dalam pilihan raya.

“Tetapi dalam pilihan raya yang sangat kompetitif seperti ini, mereka mungkin memberi kesan kepada parti lain (yang bertanding).

"Sama ada mereka akan mengambil undi daripada Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional, dalam pilihan raya di mana setiap undi adalah penting, kita tidak boleh mengambil mudah penyertaan Muda," kata Marzuki.

Profesor madya dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata demikian dalam forum bertajuk "Hearts versus minds in the struggle for Selangor".

Dia ditemani Bendahari DAP Selangor, Ong Kian Ming, yang bercakap atas kapasiti sebagai ahli akademik.

Marzuki juga pernah menjadi setiausaha sulit kepada perdana menteri sebelum ini, Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua ahli panel itu ditanya soalan mengenai langkah Muda menyertai PRN sebagai kuasa ketiga.

Menjawab soalan lain mengenai keputusan Mahathir berdamai dengan Bersatu dan PAS, Marzuki berkata bekas pengerusi Pejuang itu juga akan mempengaruhi keputusan undi.

Dia berkata, walaupun Pejuang - yang diketuai Mahathir sebelum ini - tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum November lalu, sesetengah calon daripada parti itu memperoleh undi yang besar.

“Dalam konteks pilihan raya negeri, khususnya Selangor, ini akan membawa makna.

“Di beberapa tempat di mana Pejuang bertanding, mereka memperolehi jumlah undi yang besar, ada yang lebih 1,000 undi manakala yang lain hampir 2,000.

"Di mana pilihan raya sangat kompetitif, ia akan memberi kesan," katanya menambah undi daripada penyokong Mahathir mungkin beralih kepada PN setelah usaha berdamai itu dilakukan.

Mahathir digantikan sebagai perdana menteri oleh Muhyiddin pada 2020.

Selepas tiga tahun, Mahathir kini berkempen untuk gabungan PN yang diketuai Muhyiddin.