PH, BN Kedah lancar manifesto Khamis ini
PH dan BN Kedah akan melancarkan manifesto bersama mereka pada Khamis ini, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan negeri itu, Mahdzir Khalid.
Katanya, manifesto itu akan menyantuni semua golongan termasuk nelayan, pesawah, penoreh getah, perindustrian, pelancongan, belia serta wanita.
"Ada banyak perkara yang akan dibentangkan dalam manifesto itu.
“Manifesto tersebut akan menyentuh mengenai perkara-perkara yang mampu memberi kebaikan kepada rakyat secara menyeluruh kerana kerajaan negeri ketika ini bukan saja gagal, malah tak buat apa-apa pun.
"Apa yang beliau (Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor) buat selain mengata orang lain?” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Perpaduan Kedah di Alor Setar hari ini.
Majlis pelancaran manifesto itu akan diadakan di tapak letak kereta Bandar Laguna Merbok bermula jam 9 malam.
Untuk rekod ini merupakan kali pertama BN dan PH bekerjasama bagi menghadapi PN di Kedah dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos nanti.
BN bertanding di 15 daripada 36 kerusi dewan undangan negeri (DUN).
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata tiga tahun Kedah di bawah pentadbiran PAS memang tidak ada apa-apa yang rakyat dibanggakan rakyat negeri itu.
"Tetapi kalau anda tak serius selain tidak memiliki inovasi serta kreativiti, apa yang pegawai kerajaan nak laksanakan?
"Sebab itu ketika ini, tak ada apa yang rakyat dapat walaupun sudah tiga tahun mereka memerintah," katanya lagi.
Mengenai kerjasama BN dan PH, Mahdzir menegaskan, segala gerak kerja yang dilakukan berjalan lancar buat masa ini.
Malah katanya, kedua-dua gabungan terbabit juga bersetuju untuk melaksanakan siri jelajah kepimpinan sepanjang tempoh berkempen serta satu jawatankuasa melibatkan kedua-dua gabungan akan ditubuhkan untuk menyelarasnya.
"Jawatankuasa itu akan menyelaras kedatangan pemimpin-pemimpin Pusat ke Kedah dan menentukan lokasi terbaik untuk mereka berkempen.
"Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan kita umumkan dari semasa ke semasa," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/190274bbb0d9f04eed44fae3d724d6cf.jpg)
