Azmin: Istilah 'gelombang hijau' direka lawan PN untuk takutkan pengundi
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali hari ini menggesa pengundi supaya tidak takut dengan istilah 'gelombang hijau'.
Azmin yang juga ahli majlis tertinggi Bersatu mendakwa ia hanyalah istilah yang dibuat oleh seteru politik PN untuk menakutkan pengundi daripada menyokong gabungan itu.
Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, ketua penerangan PN itu memberi jaminan kepada pengundi bahawa gabungan itu komited untuk mewakili semua kaum.
“Jangan takut dengan 'gelombang hijau'. Ia hanyalah taktik menakutkan kumpulan tertentu untuk menakutkan pengundi.
“PN komited untuk melaksanakan dasar yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia,” katanya, seperti dilapor New Straits Times.
Azmin bercakap kepada pemberita selepas mengadakan sesi libat urus dengan editor agensi berita awal hari.
Bekas ahli parlimen Gombak itu juga dilaporkan berkata PAS - berbeza dengan gambaran yang diberikan lawan parti itu - merupakan parti komponen PN, kini lebih inklusif dan sederhana.
Azmin mendakwa imej itu yang membantu PAS memenangi lebih banyak negeri dalam pilihan raya baru-baru ini.
"Kuncinya di sini ialah kesederhanaan, progresif dan toleransi. Inilah pendirian yang diambil bukan sahaja oleh PAS tetapi juga PN," katanya lagi.
Istilah 'gelombang hijau' digunakan untuk menggambarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu, yang menyaksikan PN menembusi banyak kerusi parlimen, terutama di kawasan majoriti Melayu.
Difahamkan, istilah itu berdasarkan warna utama bendera PAS.
Sebelum ini, organ PAS Harakah pun pernah menggunakan istilah "gelombang hijau" sebelum pemimpin parti itu menyifatkan istilah itu sebagai Islamofobia.
Sebagai contoh, pada 6 Mac, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor Roslan Shahrir, dalam kenyataannya yang disiarkan di Harakah, berkata “gelombang hijau” akan membadai di Selangor pada pilihan raya negeri.
Pada 12 Ogos, enam negeri akan mengadakan pilihan raya masing-masing. Tiga negeri itu - Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang di bawah teraju Pakatan Harapan sementara Kedah, Terengganu and Kelantan ditadbir oleh PAS.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/2d87704bef4a55c794a46aef1732c393.jpg)
