Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Liga kita tak sama' - Exco Pahang balas Mohd Amar
Diterbitkan:  Jul 25, 2023 10:22 PM
Dikemaskini: 2:26 PM

Exco negeri Pahang Fadzli Mohamad Kamal menafikan kenyataan timbalan menteri besar sementara Kelantan Mohd Amar Abdullah yang menyifatkan Kelantan dan Pahang berada di 'liga' yang sama.

Kata Adun Dong itu, tiada keperluan untuk membandingkan Kelantan dengan Pahang kerana setiap negeri mempunyai keunikan masing-masing.

Namun, Fadzli yang juga ketua Penerangan Umno Pahang itu menambah lima pencapaian Pahang dalam masa terdekat ini “menceritakan segala-galanya”.

Lima pencapaian Pahang yang dipetik Fadzli ialah peningkatan pendapatan negeri setiap tahun, pelaburan bernilai melebihi RM20 bilion pada tahun lalu, pengurangan hutang, penyaluran bantuan dan program kebajikan, selain kejayaan Pahang disenaraikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di kedudukan ketiga terbaik di Malaysia dalam merekodkan pertumbuhan ekonomi.

"Statistik pencapaian ini menceritakan segala-galanya. Saya berharap agar permainan politik persepsi seperti ini dihentikan.

"Jika tidak tahu menari, janganlah dikatakan lantai jongkang-jongket.

"Setiap negeri ada keunikan masing-masing. Demografi berbeza, geografi juga berbeza. Menarilah mengikut rentak masing-masing.

"Di Pahang, kami menari ikut rentak Joget Pahang. Dan paling utama... kedudukan ‘Liga’ kita tak sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Amar sebelum ini berkata adalah tidak adil untuk membandingkan Kelantan dengan negeri maju seperti Selangor dan Kuala Lumpur, yang menurutnya berada di "liga" yang berbeza.

Sebaliknya, Mohd Amar berkata, tahap pembangunan Kelantan sepatutnya dibandingkan dengan negeri lain yang berada di "liga yang sama" seperti Pahang dan Negeri Sembilan.

“Kalau diibaratkan kita bermain bola sepak; Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang ini bermain di liga lain, mereka macam ‘liga Super... negeri lain ada liga lain.

"Sepatutnya Kelantan ini dibandingkan - contohnya - Pahang dan Negeri Sembilan," kata Mohd Amar.

Mengulas lanjut, Fadzli yang memegang portfolio Komunikasi & Multimedia, Belia, Sukan & Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang berkata Mohd Amar sepatutnya fokus menyampaikan manifesto PAS Kelantan dalam PRN terutama berhubung langkah menaik taraf Kelantan ke ‘Liga Super’.

“Dan bukannya berbangga mengisytihar Kelantan selesa dalam ‘liga bawahan’.

"Lebih dahsyat lagi, beliau turut mengheret Pahang kononnya turut berada sama di kancah ‘liga bawahan’ itu juga.

"Tindakan ‘menepuk air di dulang’ ini amatlah dikesali kerana secara langsung mendedahkan kelemahan pentadbiran sendiri," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS