AGC, Umno bantah cabaran usul jawatan utama tak dipertandingkan
Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Umno hari ini membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman tiga individu bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri yang meluluskan usul tambahan parti itu supaya dua jawatan utama tidak dipertandingkan pada pemilihan majlis tertinggi parti itu pada 14 Jan lalu.
Mereka ialah ahli Umno cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai, Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid; serta ahli MIC cawangan Lembah Pantai, P Vellasamy yang memfailkan permohonan itu pada 15 Mei lalu.
Mereka menamakan Saifuddin Nasution Ismail, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Umno sebagai responden.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili AGC berkata pihaknya membantah permohonan itu atas alasan keputusan yang dicabar ketiga-tiga pemohon tidak boleh disemak melalui semakan kehakiman kerana keputusan menteri terbabit berkaitan keputusan parti politik.
"Ketiga-tiga pemohon juga tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan tindakan undang-undang berkenaan," katanya ketika berhujah di hadapan hakim mahkamah tinggi Amarjeet Singh pada prosiding hari ini.
Sementara itu, peguam Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Umno berhujah pemohon (Satarriah dan Zaidi) tidak mempunyai locus standi untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap Umno kerana mereka telah ditamatkan secara automatik daripada menjadi ahli parti.
Anggap bercanggah perlembagaan
“Cukuplah untuk mengatakan bahawa mereka bukan ahli Umno. Mereka tidak lagi mempunyai kepentingan yang tulen terhadap sebarang keputusan atau tindakan yang dibuat oleh Umno mahupun Menteri Dalam Negeri kerana keahlian mereka dalam Umno ditamatkan secara automatik,” katanya.
Menurut peguam itu, Vellasamy - yang merupakan ahli MIC - juga tidak mempunyai locus standi untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman kerana jelas tidak terjejas dengan usul tambahan Umno dan keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Mac.
Peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff yang mewakili ketiga-tiga pemohon pula berhujah, permohonan itu mempunyai merit untuk didengar dan diputuskan oleh mahkamah kerana ia melibatkan keputusan administratif yang dibuat oleh ROS.

Amarjeet kemudian menetapkan 30 Ogos untuk keputusan.
Dalam permohonan itu, kesemua pemohon berkata pada 13 Jan lepas suatu usul tambahan Umno telah dicadangkan pada perhimpunan agung parti terbabit yang berlangsung dari 11 Jan hingga 14 Jan mengenai jawatan presiden dan timbalan presiden yang tidak dipertandingkan pada pemilihan bagi penggal 2023-2026.
Mereka berkata pada 2 Mac lepas, ROS mengeluarkan surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung Umno bertajuk Pengesahan Berhubung Usul Tambahan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno 2022 yang ditandatangani Ketua Pengarah ROS.
Ketiga-tiga pemohon berkata dalam surat itu ROS mendapati usul tambahan yang diputuskan itu adalah tidak teratur dan bertentangan dengan Fasal 9.3 Perlembagaan Umno, oleh itu ia tidak sah.
Menurut mereka, ROS mewajibkan Umno untuk mengambil tindakan pembetulan untuk mematuhi fasal 9.3 perlembagaan parti itu.
Bagaimanapun, kesemua pemohon berkata pada 7 Mac lepas, satu kenyataan media dikeluarkan oleh Saifuddin yang menyatakan bahawa kementeriannya memutuskan untuk memberi pengecualian menurut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) akta sama.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/03/dddd9c2b805c5b7ae6841e8f781e64d9.jpg)
