Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa semua ahli parti menyokong keputusan pucuk pimpinan dalam mengemukakan senarai calon pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang, di tengah-tengah kritikan dalam parti itu mengenai pencalonannya.

Akhbar Straits Times melaporkan Lim mengakui rasa tidak senang di kalangan mereka yang tidak dicalonkan tetapi pada masa yang sama meminta sokongan daripada semua ahli berhubung keputusan itu.

“Kami harap semua dapat menyokong keputusan yang dibuat. Kami faham perasaan mereka yang tidak dicalonkan...kami faham.

"Tetapi marilah kita bersama-sama memastikan kita dapat mempertahankan Pulau Pinang pada pilihan raya negeri akan datang," katanya di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata demikian sebagai menjawab kritikan bahawa dia dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Air Putih bagi penggal keempat, manakala beberapa pemimpin lain termasuk timbalan ketua menteri sementara II, Dr P Ramasamy digugurkan selepas penggal ketiga.

Mengenai pencalonannya, Lim mengulangi ia adalah keputusan parti bagi meneruskan kesinambungan serta pembaharuan parti.

"Parti perlu membuat keputusan berdasarkan pertimbangan strategik. Sudah tentu semua orang bebas menyuarakan pandangan mereka, tetapi apa yang penting ialah ini akan membantu menstabilkan dan menyatukan parti," katanya.

Terdahulu, bekas ADUN Bagan Dalam, M. Satees dilaporkan mendakwa senarai calon DAP bagi PRN di Pulau Pinang diputuskan oleh seorang "maharaja".

Satees, yang digugurkan daripada mempertahankan kerusinya di Bagan Dalam, juga mendakwa tidak diturunkan sebagai calon kerana menyokong ketua menteri sementara Chow Kon Yeow.

Menurut NST, Lim enggan memberikan komen mengenai dakwaan Satees.

“Beliau (Satees) tidak boleh lupa bahawa kita membuat keputusan untuk menyokong Chow sebagai ketua menteri untuk penggal kedua jika gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional mengekalkan kuasa di negeri ini pada pilihan raya akan datang.

"Kita adalah sebahagian daripada proses membuat keputusan... kami adalah sebahagian daripada pasukan yang menyokong Chow sebagai ketua menteri. Oleh itu, marilah kita bersatu, dan tidak berpecah belah dengan kenyataan-kenyataan seperti ini," Lim dipetik sebagai berkata.

Antara tokoh yang digugurkan sebagai calon ialah lima anggota exco kerajaan negeri sementara termasuk timbalan ketua menteri II, P. Ramasamy, Ketua Wanita DAP, Chong Eng; Phee Boon Poh, Yeoh Soon Hin dan Soon Lip Chee.