Kabinet arah Mohd Said, Bung Mokhtar beri penjelasan
Dua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Said Yusof dan Datuk Bung Mokhtar Radin diarah oleh kabinet hari ini supaya memberi penjelasan kepada kerajaan berhubung kenyataan mereka yang dianggap menyinggung perasaan wanita, dengan mengaitkan perkataan 'bocor' kepada seorang wakil rakyat wanita daripada DAP.
Dua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Said Yusof dan Datuk Bung Mokhtar Radin diarah oleh kabinet hari ini supaya memberi penjelasan kepada kerajaan berhubung kenyataan mereka yang dianggap menyinggung perasaan wanita, dengan mengaitkan perkataan 'bocor' kepada seorang wakil rakyat wanita daripada DAP.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jemaah menteri yang bermesyuarat hari ini mahu ahli Parlimen dari Jasin dan Kinabatangan itu memberi penjelasan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan segera kerana perkara itu sudah menjadi isu yang besar.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akan mengatur pertemuan itu, katanya kepada pemberita di Kementerian Pertahanan hari ini.
Menurut laporan Bernama, Najib berkata: "Sebenarnya mereka (Mohd Said dan Bung Moktar) tidak bertujuan untuk menghiris atau menyinggung perasaaan kaum wanita.
"Itu kenyataan yang disampuk oleh mereka dalam perbahasan kerana marah kepada MP Batu Gajah (Fong Po Kuan)," katanya.
Sidang dewan
Isu itu timbul di sidang Dewan Rakyat Rabu lalu, ketika penyokong BN dan pembangkang sedang hangat memperkatakan isu kebocoran siling bangunan Parlimen, Bung Moktar kedengaran berkata: "Mana ada bocor...Batu Gajah tiap-tiap bulan pun bocor (datang haid) juga."
Berikutan itu beberapa pihak, khususnya yang mewakili kaum wanita, mendesak supaya ahli Parlimen berkenaan memohon maaf secara terbuka.
Ditanya oleh pemberita sama ada kedua-dua ahli Parlimen BN itu perlu memohon maaf, Najib berkata itu bergantung kepada perbincangan mereka dengan Shahrizat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Shahrizat berkata beliau akan bertemu dengan kedua-dua anggota Parlimen itu di pejabatnya Jumaat ini.

