Keadaan Tun Dr Mahathir Mohamad terus menunjukkan respons positif terhadap rawatan yang diterima di Institut Jantung Negara (IJN) di ibunegara.

Dalam satu kenyataan hari ini, IJN berkata selepas dimasukkan ke IJN semalam, keadaan bekas perdana menteri itu stabil sepanjang malam, dan doktor yang merawatnya berpuas hati dengan respons positif beliau terhadap rawatan yang diberikan.

Menurut kenyataan itu lagi, Dr Mahathir dijadualkan menjalani pemeriksaan rutin sertafisioterapi dada hari ini, dan beliau dijangka akan ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) untuk meneruskan rawatan pemantauan.

Isnin lalu Dr Mahathir dimasukkan ke Hospital Langkawi selepas mengadu mengalami kesukaran bernafas, dan beliau dipindahkan ke IJN semalam, demikian menurut laporan Bernama.

"Para doktor turut menasihatkan Dr Mahathir supaya tidak menerima pelawat, selain daripada anggota keluarga yang rapat," menurut kenyataan itu.

Antara yang melawat Dr Mahathir hari ini ialah wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin, dan Toh Puan Ena Ling, isteri kepada bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.

Sementara itu anak perempuan Dr Mahathir, Datuk Paduka Marina Mahathir berkata keluarganya menerima permintaan daripada beberapa menteri untuk datang melawat ayahnya.

Minta sandwich

"Kami meminta mereka tunggu beberapa hari lagi sebab kalau dating sekarang pun boleh berjumpa ibu sahaja kerana pelawat masih belum dibenarkan berjumpa ayah.

"Memandangkan ayah sedang dirawat di CCU, kami tidak mahu mengganggunya," katanya ketika ditemui pemberita di IJN.

Marina berkata buat masa ini keluarganya terpaksa menghadkan bilangan pelawat yang datang, untuk memberikan ruang kepada ibunya Tun Dr Siti Hasmah berehat, memandangkan beliau penat sejak beberapa hari lalu.

Marina berkata bapanya sudah mula menunjukkan reaksi positif dan tanda pemulihan.

"Tadi dia minta nak makan sandwich. Walaupun dia masih belum mampu berjalan, tapi sudah boleh bernafas secara normal tanpa menggunakan alat bantuan pernafasan," katanya.

Ketika ditanya mengenai punca Dr Mahathir mengalami masalah kesukaran bernafas, Marina berkata ia tiada kena mengena dengan masalah jantung.

"Dia begitu sebab seperti ada `fluid' pada saluran pernafasannya. Doktor sudah bersihkan semua tu," katanya.