David Marshel, yang keluar dari DAP semalam, akan bertanding pada pilihan raya negeri Pulau Pinang akan datang dengan matlamat utamanya untuk menghalang Lim Guan Eng daripada menjadi ketua menteri lagi.

Marshel akan bertanding di kerusi DUN Perai sebagai calon bebas. Penyandang bagi Perai adalah timbalan ketua menteri sementara P Ramasamy, yang juga digugurkan daripada barisan calon DAP.

Bekas ahli majlis bandar raya Seberang Perai itu berkata, sebab utama menyertai perbalahan itu adalah untuk memastikan Chow Kon Yeow terus menjadi ketua menteri selepas pilihan raya.

Dia mendakwa Lim, yang adalah pengerusi DAP, berhasrat mahu menjadi ketua menteri sekali lagi, di sebalik meluahkan sokongannya kepada Chow.

“Saya akan bertanding sebagai calon bebas dan slogan kempen saya ialah ‘Bebaskan Pulau Pinang daripada Lim Guan Eng’,” katanya pada sidang media di George Town, pagi tadi.

Lim, yang adalah Adun Air Putih, berkhidmat sebagai ketua menteri dari 2008 hingga 2018 sebelum dilantuik menjadi menteri kewangan selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, pentadbiran PH tumbang selepas 22 bulan memerintah.

Marshel berkata, dia berasa sedih untuk meninggalkan parti yang dianggotainya selama 15 tahun lalu itu.

"Ini parti yang berprinsip. Saya telah bekerja keras untuk parti, tetapi pengumuman calon baru-baru ini menyakitkan hati sehingga memaksa saya mengambil keputusan sukar (untuk berhenti) ini.

"Saya sayang parti ini, tetapi saya tidak sayang mana-mana pemimpin dalam parti, terutamanya Lim Guan Eng, kerana dia tidak menghormati akar umbi," kata Marshel.

Mengulas lanjut, Marshel berkata terdapat tiga perkara yang dekat dengannya - DAP, NGOnya (Malaysian Tamilar Kural), dan keluarganya.

"Sejak menyertai DAP pada 2008, saya telah meluangkan lebih banyak masa untuk parti dan politik. Tetapi semua ini tidak diiktiraf oleh kepimpinan parti, terutamanya setiausaha agung semasa (Anthony Loke) dan pendahulunya (Lim)."

Cubaan jatuhkan Chow?

Marshel turut kesal dengan nasib serupa yang menimpa rakannya, penyandang Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy, yang turut digugurkan daripada barisan calon.

Susulan pengguran itu, Satees memberi amaran berkaitan bahaya “maharaja” yang menentukan calon di Pulau Pinang.

“Saya dan Satees berjuang keras untuk parti, tetapi dia ‘dibuang’ selepas hanya satu penggal sebagai Adun.

"Kami berdua akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya negeri akan datang, dan Satees akan membuat pengumuman mengenai perkara ini dalam masa terdekat," katanya.

Marshel mengakui cabaran sukar yang akan dihadapinya untuk bertanding di Perai, menentang bekas timbalan ketua pegawai eksekutif Eco World Development Group Bhd Sundarajoo Somu, yang menjadi pilihan DAP untuk menggantikan penyandang P Ramasamy.

"Apapun, saya akan bertanding di kerusi itu. Walaupun YB Chow mungkin berkempen untuk DAP dan calon partinya dan memarahi saya kerana menjadi calon, tapi saya tetap akan bertanding dan menyokong Chow."

Marshel mendakwa terdapat usaha untuk memecat Chow daripada jawatannya sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang dalam pemilihan parti tahun depan, dan dia akan digantikan oleh seseorang yang sealiran dengan Lim.

[Baca berita penuh]