Bersih ingatkan pengundi - PRN bukan referendum terhadap kerajaan pusat
Badan pemantau pilihan raya Bersih mengingatkan pengundi bahawa pilihan raya negeri n(PRN) akan datang di enam negeri bukanlah referendum terhadap kerajaan persekutuan.
Pengerusinya ,Thomas Fann berkata, bahawa kedua-dua belah pihak seolah-olah berkempen mengikut garis tersebut.
Senario ini, katanya, telah mengalih tumpuan daripada kompetensi parti politik atau calon yang akan membentuk kerajaan negeri masing-masing untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kempen Perikatan Nasional (PN) sebahagian besarnya menyerang kerajaan kerana didakwa gagal mempertahankan ‘3R’ (kaum, agama, dan raja) serta ekonomi.
"Dalam pembelaan mereka, kerajaan membalas dengan rekod prestasi mereka dalam 3R," katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, Fann menegaskan bahawa enam pilihan raya negeri adalah mengenai tadbir urus negeri dan tiada kaitan dengan kerajaan persekutuan, 3R, malah ekonomi negara.
"Kita perlu memilih kerajaan negeri yang lebih baik dan mempertanggungjawabkan mereka untuk prestasi masa lalu dan janji masa depan mereka," tambahnya.
Mesej kepada Putrajaya
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin telah berkali-kali menyatakan bahawa pilihan raya negeri sepatutnya menjadi referendum terhadap kerajaan pusat dan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Isnin lalu, bekas perdana menteri itu mengulangi perkara yang sama pada konvensyen pemilihan PN di Selangor, menggesa pengundi di negeri itu menghantar mesej kepada Putrajaya.
"Sebab itu penting bagi kita minta pengundi Selangor bagi peluang kepada kita...
"Kita nak gunakan ini (PRN di Selangor) sebagai satu referendum, mulakan dengan Selangor," katanya dalam ucapannya.
Dr Mahathir Mohamad, yang meluahkan sokongannya kepada PN, juga berkempen dalam nada sama, menggesa orang Melayu untuk bersatu dalam pilihan raya negeri nanti.
Pada 12 Ogos nanti, selain Selangor, turut akan mengadakan PRN adalah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dikuasai oleh PH manakala tiga lagi di bawah pemerintahan PAS.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/11/7aafc938887d02346d295bb278951465.jpg)
