Kerajaan akan memasukkan Mekanisme Kajian Tol (MKT) dalam perjanjian konsesi baru yang ditandatangani dengan mana-mana syarikat konsesi lebuhraya pada masa depan untuk mengawal kadar kenaikan tol.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu berkata, mekanisme baru itu, antara lain, akan mengambilkira bilangan trafik yang dijangka menggunakan lebuhraya jika kadar tol berbeza dikenakan.

"Sebagai contoh, jika trafik yang melalui lebuhraya lebih tinggi daripada unjuran asal, kerajaan boleh menggunakan peruntukan MKT untuk tidak memberikan kenaikan tol sepenuhnya tanpa perlu membayar pampasan," katanya ketika menjawab soalan Senator Lee Sing Chooi di Dewan Negara.

Menurutnya. perkara lain yang dikaji ialah kadar, kekerapan dan bilangan kenaikan tol, bayaran pampasan ke atas pengurangan tol atau kadar tol tidak dinaikkan, demikian menurut laporan Bernama.

Katanya, perkara-perkara lain ialah kemampuan syarikat untuk membayar balik pinjaman serta kos operasi dan lanjutan tempoh konsesi.

"Kadar pulangan dalaman setelah mengambil kira modal dan kos operasi syarikat tol, kedudukan lebuhraya dalam bandar yang mempunyai pengguna tetap serta lebuhraya di luar bandar yang kurang digunakan juga akan diambil kira," katanya.

Samy Vellu berkata, ini berbeza dengan perjanjian konsesi lama, di mana syarikat konsesi berhak mendapatkan kenaikan tol sepenuhnya secara automatik tanpa mengambil kira jumlah trafik.

Hak berunding

Bagaimanapun, katanya kerajaan tetap mempunyai hak berunding dengan syarikat konsesi bagi menetapkan kadar tol yang tidak membebankan pengguna.

Menjawab soalan senator yang sama, beliau berkata Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) terpaksa meminjam RM7.4 bilion untuk membina lebuhraya tetapi terpaksa membayar balik RM16 bilion termasuk faedah selain kos penyelenggaraan dan gaji pekerja.

Menurut Samy Vellu, ketika kerajaan menandatangani perjanjian dengan PLUS dahulu, kadar tol lebih tinggi iaitu 18 sen bagi satu kilometer pada asalnya tetapi kerajaan telah mengurangkan kadar itu sebanyak tiga kali kepada 14.2 sen pada hari ini.

"Semalam syarikat (PLUS) buat mesyuarat agung dan mengumumkan mereka akan dapat kenaikan tol tahun depan. Tetapi saya serta merta memberitahu media bahawa pihak syarikat tak boleh tentukan dia dapat naik tol atau tak, kerajaan akan memutuskan, jemaah menteri akan buat keputusan," tegas beliau.

Samy Vellu berkata kementerian akan menggunakan kaedah "analisis pelbagai cara" (MMA), bagi menentukan jumlah kadar kenaikan, jumlah ganti rugi, kemampuan kerajaan membayar pampasan dan jumlah yang harus dibayar kerajaan.

Katanya beliau akan mengemukakan kaedah MMA itu kepada jemaah menteri untuk menimbangkan tuntutan rakyat dan jumlah pampasan yang harus dibayar kepada syarikat konsesi.

Menjawab pertanyaan Senator Datuk Rizuan Abd Hamid mengenai kuasa kerajaan menurunkan kadar tol, Samy Vellu memberi contoh ketika Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dibuka, kadar tol yang dijanjikan ialah RM1.50 tetapi setelah mendapat bantahan rakyat kadar itu diturunkan kepada RM1.00 sehingga kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat konsesi sebanyak RM465 juta selama enam tahun.