Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Kedah, R Suntharrajoo akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti yang menggugurkan namanya daripada bertanding di DUN Bukit Selambau.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan penyandang kerusi itu, R Summugam akan mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

"Saya terima keputusan parti. Saya selaku ahli PKR akan tetap memberi yang terbaik pada PRN ini.

"Saya akan pastikan PKR akan mempertahankan kerusi tersebut pada PRN ini," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 24 Julai lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan Suntharrajoo sebagai calon PH di DUN Bukit Selambau menggantikan Summugam.

Namun, namanya digugurkan semalam atas sebab tidak dimaklumkan kepada umum.

Dengan Summugam kembali bertanding mewakili PH, dia dijangka bertembung dengan calon PAS Azizan Hamzah yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Summugam sebelum ini dilaporkan berkata dia tidak terkejut dengan pencalonan semulanya itu memandangkan prestasi baik yang ditampilkannya sebagai wakil rakyat selama ini.

Katanya, walaupun tidak dinamakan sebagai calon sebelum ini,  dia menerima perkara itu dengan hati terbuka dan tidak melakukan protes.

Katanya, sekiranya dipilih semula pada PRN ini, akan meneruskan fokus menangani krisis air yang menjadi masalah utama penduduk di kawasan berkenaan.