Proklamasi Melayu gugurkan pemimpin tanding sebagai calon Bebas
Jawatan Mohamed Hafis Baharuddin sebagai ketua mobilisasi Proklamasi Orang Melayu digugurkan serta-merta selepas dia menjadi calon Bebas dalam pilihan raya negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat di Negeri Sembilan.
Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu Khairuddin Abu Hassan (gambar atas) berkata tindakan Mohamed Hafis itu bertentangan dengan arahan pengasas mereka Dr Mahathir Mohamad agar semua pemimpin mereka terus menyokong calon-calon Perikatan Nasional (PN).
“Pihak kami memandang serius pendirian beliau untuk bertanding sebagai calon ‘bebas’ yang juga bakal menentang calon PN pada PRN ini.
“Pihak kami amat kecewa dengan sikap yang dipamerkan oleh Mohamed Hafis yang enggan patuh pada nasihat Dr Mahathir erta prinsip konsensus Proklamasi Orang Melayu,” katanya dalam kenyataan, hair ini.
Kata Khairuddin, walaupun pemimpin Proklamasi Orang Melayu gagal mendapatkan sebarang kerusi di bawah PN, mereka masih berpegang pada matlamat untuk kalahkan semua calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di enam negeri.
“Dalam ertikata yang lain, kami mahu menjamin agar pertandingan kali ini berteraskan ‘satu lawan satu’ di antara PN dengan PH-Umno,” katanya.
Hafis bakal berdepan saingan empat penjuru menentang calon daripada PH, Aminuddin Harun yang juga menteri besar sementara Negeri Sembilan, calon PN Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan seorang lagi calon Bebas, Bujang Abu.
Aminuddin merupakan penyandang kerusi berkenaan sejak PRU ke-12. Dia memenangi kerusi Sikamat pada PRU14 lalu dengan majoriti 3,413 undi.
Pada PRN kali ini, jumlah pemilih di DUN Sikamat adalah seramai 32,343 dengan 32,161 pengundi biasa.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/e0a0d407558cd49c681de875fa96fb83.jpg)
