Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon bukan Islam DHPP promosi 'PAS untuk semua'

Seorang bekas pemimpin Pemuda Gerakan yang tersentuh dengan slogan ‘PAS untuk semua’ telah menyertai parti itu dan bertanding di kerusi majoriti Cina di Pulau Pinang.

Andrew Teow, anggota Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), bertanding atas tiket PN di kerusi DUN Sungai Puyu.

Dia salah seorang daripada tiga calon bukan Islam daripada PAS yang bertanding di Pulau Pinang.

Rakan PAS, Bersatu turut meletakkan empat calon bukan bumiputera di Pulau Pinang.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Teow memuji slogan 'PAS untuk semua'.

"Konsep 'PAS untuk semua' yang mereka anjurkan bukan sekadar menjaga kaum sendiri, tetapi juga menjaga kepentingan masyarakat Cina dan India."

"Ia penting kerana saya mempunyai peluang untuk merapatkan jurang antara masyarakat Cina dan Melayu Islam."

'Saya nak balas budi PAS'

Pemuda berusia 39 tahun itu pernah menjadi jurucakap Pemuda Gerakan dan kemudiannya menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebelum bertukar kepada PAS pula.

Katanya, slogan 'PAS untuk semua' menarik perhatiannya untuk menyertai PAS.

Teow menjelaskan dakwaan PAS sebagai parti ekstrem adalah tidak benar sama sekali.

Menurut Teow, dia sebenarnya tidak menjangka akan dicalonkan untuk bertanding pada pilihan raya negeri.

"Saya tidak bersedia secara mental untuk itu," katanya.

Dia percaya bahawa sumbangan dan aktivismenya dengan NGO telah menyebabkan dia dicalonkan.

Teow mengaku bimbang tentang pandangan pengundi terhadapnya tetapi akhirnya memutuskan untuk menerima pencalonan bagi mempromosikan konsep ‘PAS untuk semua’.

"Saya mahu membalas budi kepada PAS sepanjang hayat saya," katanya.

Teow bertanding menentang calon PH Phee Syn Tze, yang juga anak perempuan kepada bekas penyandang kerusi DUN Sungai Puyu Phee Boon Poh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS