REE kena curi sebab Sanusi tak cekap tadbir - Saifuddin
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketidakcekapan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam mentadbir urus Kerajaan Negeri Kedah adalah sebab berlakunya kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.
Beliau berkata perkara itu bukan sahaja memberi kesan kepada kerajaan negeri malah menjejaskan imej negara memandangkan isu pemerdagangan manusia turut ditimbulkan dalam kecurian REE berkenaan.
"Perkara paling serius adalah tentang kompetensi seorang individu yang bergelar Menteri Besar kerana beliau mengurus negeri dan ada tanggungjawab besar, di bawahnya adalah seluruh instrumen pemerintah, agensi-agensi dan pengawal selia," katanya pada sidang media di Alor Setar hari ini.
Saifuddin Nasution berkata sebagai individu yang memimpin kerajaan negeri, Muhammad Sanusi sudah pasti diberikan taklimat dari semasa ke semasa berkaitan sebarang aktiviti melibatkan agensi di bawah kerajaan negeri sama ada dalam mesyuarat Exco ataupun semasa sidang Dewan Undangan Negeri.
Katanya Muhammad Sanusi juga gagal menjelaskan kepada rakyat pelbagai persoalan berkaitan kecurian itu.
"Tindakan dia yang tidak menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan ini menunjukkan betapa tidak kompetennya dia dalam menangani masalah yang berlaku di Kedah.
“Jangan anggap isu ini enteng seolah-olah insiden ini terpencil atau isu yang dimainkan pada musim pilihan raya kerana ini melibatkan isu keselamatan negara," katanya.
Saifuddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kes kecurian REE itu tidak akan terhenti walau apa sekalipun keputusan Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos ini.
"Siasatan ke atas kes ini oleh agensi-agensi kerajaan atau negeri saya yakin akan diteruskan kerana dalam tempoh 12 hari ini, tidak mungkin siasatan sepenuhnya dapat dijalankan.
“Jadi, ini bukan isu pilihan raya tetapi ini isu tidak kompeten dan lemahnya tatakelola Menteri Besar dalam menguruskan kerajaan negeri," katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/f1ec64af7b6d39f03e99c128e8a33cdc.jpg)
