mk-logo
Berita
Peruntukan k'jaan diumum Zahid tiada unsur rasuah - KP SPRM
Diterbitkan:  Jul 30, 2023 7:11 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak melihat pengumuman Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengenai geran RM450,000 di Terengganu sebagai satu bentuk sogokan pilihan raya.

Katanya, ini kerana geran tersebut merupakan peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

"Ini adalah sebuah kerajaan pemerintah yang boleh melaksanakan inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat.

"Pada hemat saya, tiada masalah berhubung isu pemberian geran ini kerana ia merupakan inisiatif kerajaan.

"Jadi kalau inisiatif peruntukan yang telah diluluskan kerajaan, ia tiada unsur rasuah," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Zahid, yang juga menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, sebelum ini dikritik kerana ucapannya ketika mengumumkan peruntukan yang disediakan kementeriannya pada satu majlis Jumaat lalu.

Selepas mendedahkan kementerian akan memberi RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri itu, Zahid kemudian meminta belia yang hadir pada majlis itu mengundi “gelombang biru dan merah” pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membidas ucapan Zahid itu tidak berpuas hati dengan kenyataan SPRM.

"Bantuan diumumkan ditengah-tengah musim kempen pilihanraya dengan syarat, undi mereka.

"Ini jelas sogokan untuk beli undi. Jangan normalisasikan rasuah.

“Apa yang salah tetap salah," katanya pada ciapan di Twitter hari ini.

Zahid telah menafikan dia mahu menormalisasikan rasuah atau pengumumannya sehari sebelum hari penamaan calon itu sebagai sogokan kepada pengundi.

Lihat Komen
ADS