Seorang bekas pembantu politik kepada Muhyiddin Yassin berkata tindakan pengubahsuaian dan pembaikan kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana, adalah sesuatu yang wajar.

Dalam kenyataan di Facebook Marzuki Mohamad berkata dia sendiri terlibat secara langsung dalam proses berkenaan atas kapasitinya sebagai ketua setiausaha sulit perdana menteri ketika itu.

"Masalah utama Seri Perdana ialah kebocoran di beberapa bahagian bangunan yang menyebabkan bumbung, siling, dinding dan lantainya rosak.

"Saya diberitahu peralatan dapur juga tidak boleh digunakan di samping masalah pendawaian yang telah usang dan perlu diganti baru.

Selain itu, Seri Perdana juga telah diubah suai sebelum ini menyebabkan keadaannya yang asal telah berubah.

"Kebanyakan perabot juga telah tiada. Ini kerana terdapat kelemahan dalam sistem inventori yang menyebabkan pegawai tidak dapat memastikan sama ada perabot di Seri Perdana milik kerajaan atau milik peribadi mantan perdana menteri keenam, iaitu Najib Razak," katanya.

Marzuki berkata Seri Perdana sepatutnya menjadi kediaman rasmi perdana menteri tetapi tiada yang mendiaminya sejak pentadbiran Najib kerana keadaannya yang teruk.

Mahu ada akta khas

Bangunan mana pun, tambahnya, jika terbiar tidak dibaiki, tidak didiami dan dibiarkan rosak begitu sahaja, lama-kelamaan kerosakan itu akan menjadi lebih teruk.

Malah katanya pada ketika itu kos membaik pulih akan lebih tinggi.

Dia berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap ucapan Anwar Ibrahim pada malam Sabtu lalu yang mengkritik Muhyiddin kerana membelanjakan RM38 juta untuk kerja-kerja pembaikan Seri Perdana.

Anwar, semasa ucapan kempennya di Selangor, berkata ketika itu rakyat sedang dilanda pandemik Covid-19 dan wang itu sepatutnya disalurkan ke tempat lain.

Kata Marzuki, semasa proses membaik pulih itu mahu dilaksanakan Muhyiddin berpesan kepada ketua setiausaha negara agar menekankan dua perkara.

Pertama, katanya perlu ada inventori yang lengkap membabitkan semua harta kerajaan di Seri Perdana supaya tidak ada mana-mana perdana menteri yang boleh mengambil perabot atau hiasan di situ selepas bersara, kecuali terbukti ia barangan peribadi.

Kedua, katanya perlu ada akta mengenai Seri Perdana sebagai bangunan warisan yang tidak boleh diubah suai sesuka hati. Keberadaan sebenar bangunan itu, katanya, mesti dipertahankan.

"Alhamdulillah, setelah dibaiki dan dikembalikan kepada keadaannya yang asal, Seri Perdana boleh didiami oleh Perdana Menteri Malaysia dan digunakan untuk pelbagai acara rasmi.

Perdana "menteri ke-10 (Anwar) juga banyak mengadakan majlis rasmi dan acara keraian di Seri Perdana," katanya.