Kerajaan Selangor memutuskan untuk membatalkan cadangan pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD-Link).

Menteri besar sementara Amirudin Shari berkata kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemukakan, khususnya dengan laporan penilaian impak sosial.

“Berkenaan laporan penilaian impak yang dikemukakan, terutama dari segi laporan impak sosial, pentadbiran ini tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemukakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Amirudin Shari

“Oleh yang demikian, kerajaan negeri Selangor tidak berhasrat untuk meneruskan dengan cadangan itu dan telah memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan PJD-Link,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan negeri berkata walaupun perjanjian konsesi telah ditandatangani antara kerajaan persekutuan dan pemaju pada April 2022, pemaju dikehendaki menjalankan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Kesan Sosial (SIA) dan Penilaian Kesan Trafik (TIA) sebelum boleh diaktifkan.

“Prinsip pentadbiran ini adalah supaya pembangunan di Selangor boleh mencapai keseimbangan antara kemampanan, kemajuan ekonomi serta tidak membawa kemudaratan kepada rakyat Selangor,” kata Amirudin.

Sebelum ini, dia berkata kerajaan negeri tidak akan meluluskan PJD-Link jika mendapati ia serupa dengan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex), yang dibatalkan pada 2015.

Beberapa kumpulan penduduk Petaling Jaya telah menimbulkan kebimbangan bahawa PJD-Link akan menjadi projek kitar semula Kidex.

Penduduk kemudiannya telah mengheret ihak berkuasa ke mahkamah atas dakwaan keengganan untuk menyerahkan EIA dan dokumen lain yang berkaitan dengan PJD-Link.

Cadangan PJD Link sepanjang 25.4km itu bertujuan untuk menghubungkan lebuh raya Sprint di Damansara ke lebuh raya Bukit Jalil di Bandar Kinrara

[Baca berita penuh]