Gelombang besar penolakan BN di Kedah seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah reda dan berlalu, kata Pengerusi BN Kedah, Mahdzir Khalid.

Secara peribadi Mahdzir berkata, dia yakin akan berlaku perubahan di Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

"Gelombang yang berlaku pada November tahun lalu memang sangat besar hingga membolehkan Perikatan Nasional (PN) mendapat terlalu banyak undi.

"Tetapi dalam PRU14 iaitu sebelum gelombang itu wujud, PAS cuma menang 15 kerusi saja dan tidak dapat menubuhkan kerajaan.

"Yang menubuhkan kerajaan ketika itu adalah Pakatan Harapan (PH) sebelum kerajaan itu diambil alih PAS di tengah jalan.

"Kini gelombang dalam PRU15 sudah tiada dan kita kembali kepada keadaan asal," katanya ketika ditemui media sewaktu berkempen di Kampung Kubang Kenyeng, di Padang Terap, hari ini.

Pada PRU15, November lalu, PN memenangi 13 daripada 14 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Mereka yang tumbang termasuk Dr Mahathor Mohamad dan anaknya, Mukhriz yang pernah menjadi menteri besar sebanyak dua kali. Malah kedua-dua mereka hilang wang pertaruhan masing-masing.

BN pada PRN Kedah kali ini membentuk kerjasama dengan PH bagi berdepan PN dalam usaha merampas kembali negeri tersebut.

Pada PRN Kedah 12 Ogos nanti, BN mempertaruhkan 15 calonnya bagi berdepan cabaran PN. Manakala PH bertanding di 16 kerusi.

"Jadi tanpa ada gelombang dan angin yang kuat itu, maka saya jangkakan akan berlaku persaingan sengit melibatkan PN dengan gabungan BN serta PH bagi memerintah negeri ini," tambah Mahdzir.

Pada pilihan raya 2008, BN digulingkan selepas Pakatan Harapan memenangi 18 daripada 36 kerusi manakala PAS, berjaya mendapat 15 kerusi.

Bagaimanapun, kerajaan negeri pimpinan PH tumbang pada 2020, menyebabkan pemimpin PAS Muhammad Sanusi Md Nor menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, rakyat Kedah mula menyedari betapa mereka tidak boleh menolak BN begitu saja setelah melihat perbezaan khidmat antara wakil rakyat BN dan PN di kawasan tersebut.

"Dalam PRU15, yang datang pada waktu itu bukan angin biasa-biasa sebaliknya ribut taufan yang menyebelahi PN.

"Penilaian untuk mengundi sudah tidak bergantung kepada khidmat tetapi lebih kepada sentimen agar terus menolak BN walau siapa pun calonnya.

"Disebabkan itu saya sering ingatkan agar rakyat mengundi kerana perkhidmatan dan bukan kerana gelombang. Fikir semula apa manfaat yang mereka terima jika sekadar menderu mengikut gelombang, tanpa menilai perkara-perkara lain termasuk khidmat bakal diberikan wakil rakyat," katanya.


BACA LANJUT: PRN: Sampai mana gelombang hijau?