Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid guna kad kredit peribadi dahulukan bayaran pembelian sumbangan
Diterbitkan:  Aug 1, 2023 6:38 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggunakan kad kredit peribadinya untuk mendahulukan pembelian peralatan untuk disumbangkan kepada masjid bagi aktiviti kebajikan Yayasan Akalbudi (YAB).

Datuk Rosiah Osman, 71, yang ketika itu Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid berkata wang YAB kemudian dikeluarkan bagi membayar balik kad kredit bagi pembelian berkenaan.

Menurut Rosiah, kad kredit Ahmad Zahid digunakan untuk pembelian antaranya permaidani, kipas dan pendingin hawa yang disumbangkan kepada masjid memandangkan yayasan tersebut tidak mempunyai kad kredit.

“Kita menerima penyata kad kredit setiap bulan. Saya akan teliti sama ada ia perbelanjaan peribadi Datuk Seri (Ahmad Zahid) atau perbelanjaan berkaitan Yayasan Akalbudi.

“Saya akan buat bayaran kad kredit menggunakan cek ditetapkan yang mana perbelanjaan peribadi Datuk Seri menggunakan cek Maybank Datuk Seri manakala perbelanjaan berkaitan Yayasan Akalbudi menggunakan cek Affin Bank yayasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Hamidi Mohd Mohd mewakili Ahmad Zahid, 70, yang diperintah membela diri terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana YAB.

Saksi pembelaan ketujuh itu berkata selepas bersara pada 7 Dis 2011, tugasnya diambil alih Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly dan beliau (Rosiah) menyerahkan kunci kabinet, buku cek peribadi Ahmad Zahid dan yayasan yang belum dan telah digunakan kepada Mejar Mazlina.

“Saya berpesan kepada Mejar Mazlina supaya menggunakan cek peribadi Datuk Seri untuk membayar kad kredit bagi perbelanjaan Datuk Seri manakala cek YAB untuk membayar kad kredit bagi perbelanjaan berkaitan YAB.

“Saya juga berpesan kepada Mejar Mazlina supaya menggunakan cap tandatangan Datuk Seri untuk digunakan pada kad perayaan, surat jemputan, sijil dan surat penghargaan,” katanya yang bertugas sebagai setiausaha peribadi Ahmad Zahid sejak 1994.

Selain itu, Rosiah bersetuju dengan cadangan Hamidi bahawa sepanjang perkhidmatannya, Ahmad Zahid tidak pernah memberi arahan kepadanya untuk menggunakan cap tandatangan berkenaan bagi cek.

Terdahulu, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, pegawai khas kepada Ahmad Zahid, Datuk Mohd Kamal Abdullah berkata beliau mendapati Mazlina sering cuai dalam menguruskan cek pada 2013.

Saksi pembelaan keenam itu berkata antara kecuaian Mazlina adalah menulis cek dengan jumlah yang salah selain membuat cek tidak lengkap termasuk cek melibatkan perbelanjaan YAB.

“Setahu saya, Datuk Seri memang seorang yang teliti tetapi beliau tidak akan memecat atau buang kakitangannya. Beliau hanya akan tegur. Mazlina sudah berkali-kali ditegur tetapi masih tak berubah,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS