Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DUN Kuah, Ayer Hangat: PAS dah berusaha, kata Tuan Ibrahim
Diterbitkan:  Aug 3, 2023 11:03 AM
Dikemaskini: 3:03 AM

PAS memberi bayangan parti itu memang mahu meletakkan calon di dua kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Kedah namun terpaksa akur kepada pihak atasan.

Menjelaskan situasi di Kuah dan Ayer Hangat itu, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS faham wujud rasa kecewa dalam kalangan ahli parti apabila kerusi yang terletak di bawah kawasan parlimen Langkawi diwakili calon Bersatu.

“Sebenarnya kita (PAS) telah berusaha, tetapi pada saat akhir watikah yang dikeluarkan, dua DUN berkenaan ditandingi calon PN dari Bersatu.

“Suka tak suka, apabila dah jadi keputusan kena akur dan terima.

"Saya tahu sebahagian jentera (PAS) kecewa dengan keputusan itu tapi ia adalah perkara biasa,” kata Timbalan Presiden PAS yang dipetik portal rasmi parti itu, harakahdaily.

Beberapa insiden melatari penyertaan PAS dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini dengan sesetengahnya menyaksikan ahli parti terbabit menongkah arus apabila menjadi calon bebas.

Persaingan di Ayer Hangat dan Kuah misalnya menyaksikan timbalan yang dipertua PAS dan ketua pemuda kawasan menjadi calon bebas. Bersama mereka ialah enam yang lain selaku pencadang, penyokong dan wakil calon.

Di DUN Bayan Lepas pula persaingan menjadi calon berlaku di antara PAS dan Gerakan. Ia membawa kepada insiden Presiden Gerakan Dominic Lau yang juga calon PN di Bayan Lepas dihalang menaiki pentas ceramah PAS di Tasek Gelugor.

Lau bagaimanapun menafikan dia dihalau dari situ oleh pemimpin PAS Pulau Pinang.

Tuan Ibrahim berkata ahli PAS perlu mengelak daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh merugikan parti dan perjuangan ketika menghadapi PRN sekarang.

Kata ahli parlimen Kubang Kerian itu setiap keputusan dibuat pimpinan atasan PAS yang tidak bercanggah dengan syarak, justeru ia wajib dipatuhi oleh semua pihak.

“Mendukung keputusan parti, walaupun tidak bersetuju, itu adalah realiti sebagai ahli parti.

"Suka atau tidak suka, bila sudah menjadi keputusan, kita perlu terima,” katanya di Alor Setar Kedah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS