Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoalkan keikhlasan PAS dalam memastikan parti itu tidak akan meminggirkan orang bukan Islam jika memenangi enam pilihan raya (PRN) negeri.

Pemimpin DAP itu menerusi media sosial membangkitkan mengenai beberapa amalan 'Islamisasi' di negeri-negeri ditadbir PAS, khususnya Kelantan dan Terengganu.

"Bagaimana kamu menjelaskan kompaun terhadap wanita Cina kerana memakai seluar pendek di khalayak ramai?

"Tidak ada pawagam di Kelantan. Kamu memaksa idea anda mengenai 'haram' kepada orang bukan Melayu dan tidak membenarkan pawagam hanya kerana kamu percaya penonton wayang yang tidak mempunyai pertalian tidak sepatutnya duduk bersama," tulis Charles.

Senario itu juga katanya berlaku di Terengganu apabila tempat duduk berasingan dilaksanakan untuk lelaki dan wanita di pawagam di negeri itu.

Selain itu kata Charles, pengasingan jantina juga dikuatkuasakan di salun rambut uniseks di Terengganu, termasuk yang dikendalikan oleh bukan Melayu.

"Ada desakan daripada PAS untuk mengarusperdanakan politik Islam. Pengharaman di pawagam, salun rambut uniseks, dan iklan alkohol menceroboh hak orang bukan Melayu.

"Apakah jaminan PAS tidak akan mengenakan nilai Islam kepada semua orang berdasarkan contoh di atas? Lebih-lebih lagi jika ia menawan kerajaan pusat pada pilihan raya akan datang?"soalnya.

Charles mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang baru-baru ini bahawa orang bukan Melayu, khususnya di Pulau Pinang, tidak akan dipinggirkan jika menang dalam pilihan raya negeri 12 Ogos.

China Press melaporkan, Abdul Hadi berkata orang bukan Melayu tidak perlu risau kerana Islam menggalakkan keadilan dan kesaksamaan.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata orang Cina dan India di Kelantan dan Terengganu hidup aman di kampung-kampung Melayu.