Lima puluh sembilan warga asing termasuk dua kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam satu serbuan melalui Op Bersepadu di sebuah jeti pelantar ikan di Hutan Melintang, Teluk Intan awal pagi semalam.

Pengarah Imigresen Perak Hapdzan Husaini berkata dalam operasi kira-kira jam 1 pagi itu, pasukan serbuan yang tiba di tempat kejadian terpaksa memotong pintu pagar premis terbabit bagi membolehkan mereka masuk ke kawasan berkenaan.

"Setiap pintu bilik telah diketuk oleh pegawai kanan dan memperkenalkan diri serta menunjukkan kad kuasa jabatan untuk memberitahu tujuan kehadiran kepada penghuni yang mendiami bilik-bilik di lokasi serbuan tersebut.

"Kehadiran pasukan operasi di lokasi serbuan menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam laut dan menyembunyikan diri di dalam semak sekitar lokasi serbuan," katanya dalam kenyataan di Ipoh.

Bagaimanapun, Hapdzan berkata kesemua mereka gagal meloloskan diri kerana kecekapan pasukan operasi yang sudah menutup setiap ruang dengan mengepung premis berkenaan.

Menurutnya, seramai 61 warga asing berusia tujuh hingga 55 tahun diperiksa terdiri.

Mereka terdiri daripada seorang lelaki Thailand, 13 lelaki Indonesia, dua wanita Vietnam serta 36 lelaki, lima wanita dan dua kanak-kanak Myanmar yang melakukan kesalahan imigresen, manakala dua lelaki Myanmar diserahkan kepada Agensi Penguatkuasa Maritim (APMM) bagi tujuan siasatan.

Katanya, mereka yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, seksyen 15(1)(c) iaitu telah tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Dia berkata operasi yang tamat pada 4 pagi itu dijalankan 35 pegawai imigresen dari Bahagian Penguatkuasa JIM Perak, 26 pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi JIM Putrajaya serta 30 anggota dan pegawai APMM.

- Bernama