Peletakan jawatan dan langkah meninggalkan parti secara beramai-ramai tidak merencatkan semangat perjuangan ahli Umno yang lain untuk terus setia.

Sebaliknya, Ketua Pemuda Umno Malaysia Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pihaknya akan terus istiqamah menggalas tanggungjawab untuk memperkukuhkan parti.

“Pemimpin itu datang dan pergi, patah tumbuh hilang berganti. Perjuangan Umno tetap diteruskan.

“Tindakan keluar parti secara beramai-ramai tidak sesekali akan merencatkan semangat rakan-rakan Pemuda yang lain yang masih setia, bersusah payah dan akan terus mengangkat perjuangan ini walau dalam keadaan yang susah mahupun senang.

“Suka untuk saya ingatkan dan berpesan kepada rakan-rakan Pemuda Umno, perjuangan kita ini tidak berlandaskan individu atau mana-mana figura politik tetapi pejuangan Pemuda Umno adalah untuk meneruskan fungsi dan peranan institusi dalam merekrut anak muda, memelihara perjuangan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Semalam sejumlah ahli Umno Ketereh - termasuk ketua pemudanya, Afiq Amani Annuar - mengumumkan keputusan mereka meninggalkan parti itu untuk menyokong PN.

Selain Afiq Amani yang juga anak Annuar Musa, turut meninggalkan Umno ialah ahli Jawatankuasa Umno Cawangan Cabang Tiga Haji Musa.

Kata Afiq Amani, keputusan tersebut dibuat atas kerelaannya sendiri dan tidak dipengaruhi oleh pihak lain termasuk bapanya.

Menurutnya, tindakan itu diambil selepas melihat perjuangan Umno semakin tidak selari dengan perjuangan asal.

Muhamad Akmal berkata dengan keluarnya Afiq Amani, jawatan ketua Pemuda Umno Ketereh kini dipangku naib ketua pemuda bahagian itu Azhan Ishak.