Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS pertaruh pendakwah selebriti, kempen TikTok pikat pengundi S'gor

Calon PAS bagi enam pilihan raya negeri kali ini menampilkan muka lama dan baru serta pendekatan yang berbeza.

Ada calon yang menggunakan kaedah berkempen konvensional dan tidak kurang juga yang berharap untuk memanfaatkan status mereka sebagai pempengaruh di media sosial.

Ini termasuk pendakwah yang juga penceramah motivasi dan boleh dianggap sebagai selebriti media sosial kerana pengikut dalam talian mereka yang ramai.

Dua calon sedemikian boleh ditemui di utara Selangor untuk kerusi Sungai Panjang dan Sungai Burong.

Sungai Panjang terletak di bawah kawasan parlimen Sungai Besar manakala Sungai Burong terletak dalam kerusi parlimen Tanjong Karang.

Kedua-dua kawasan pilihan raya itu terletak berdekatan antara satu sama lain dan hanya dipisahkan oleh destinasi pelancongan popular dan pusat makanan laut Sekinchan.

Berdasarkan data pengundi daripada pilihan raya umum lalu, “gelombang hijau” kuat di kawasan ini, membawa PN menang kerusi parlimen Sungai Besar dan Tanjong Karang.

Bagi pilihan raya negeri, PAS berharap "gelombang hijau" yang digabungkan dengan faktor calon pendakwah selebriti akan membantunya memenangi DUN Sungai Panjang dan Sungai Burong.

Di Sungai Panjang, PAS menurunkan Mohd Razali Saari (gambar, atas).

Dia merupakan pengetua sebuah sekolah agama swasta yang diasaskan oleh PAS dan pakar terapi tradisional pusat rawatan alternatif Darussyifa’.

Ini kali kedua Razali bertanding di sana dan akan menentang Mohd Imran Tamrin, penyandang kerusi DUN itu, sekali lagi.

Pendakwah berusia 41 tahun itu berkempen dengan memberikan ceramah motivasi melalui penstriman langsung di TikToknya.

'Sentuhan peribadi'

Contohnya, Razali menasihati belia yang memiliki perniagaan untuk menjadi "pemimpin dan bukannya bos."

"Begitulah saya nak nasihat di kalangan anak muda sebagai pemilik syarikat, kena ingat kita bukan nak jadi bossy tau, tapi kita kena jadi leader.

"Bossy dengan leader beza. Bossy itu mengarah sahaja, kalau tidak betul, atau salah, semua salah orang bawah. Tapi leader tak sama, leader ajar, buat sama-sama," katanya.

Siaran langsung Razali pada setiap malam sering dimulakan dengan pemerhatiannya mengenai kempen di Sungai Panjang, sebelum beralih kepada mengulas mengenai perkara lain.

Pada penghujung siaran dia akan merayu penontonnya untuk mengundinya. Berbanding dengan bentuk ceramah tradisional, pendekatan Razali menarik perhatian penduduk tempatan.

Tambahan pula, siaran langsung TikTok adalah interaktif, membolehkan calon menjawab secara terus kepada pelbagai soalan daripada pengundi.

“Gelombang hijau” yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam pilihan raya umum lalu dikaitkan dengan PN memanfaatkan kuasa media sosial, yang menyebabkan Pakatan Harapan dan BN tidak bersedia.

Semasa salah satu siaran langsung Razali, seorang penonton mengulas: "Dulu BN, sekarang jadi ahli PN, sokong PN sepenuhnya."

Selepas membaca komen itu, calon itu menggesa orang lain untuk memujuk keluarga dan rakan mereka supaya mengundi PN juga.

Satu lagi contoh bagaimana kempen melalui medium ini lebih berkesan ialah apabila Razali menyebut bagaimana seorang penonton menjemputnya untuk melawat kumpulan silat tempatan.

Ini membolehkan Razali memukau penonton dengan ilmu silatnya. Dia berkata pembelajaran silat juga bersifat rohani kerana pergerakannya berkaitan dengan solat.

"Silat sebenarnya dulu diwarisi ulama-ulama yang menentang penjajah-penjajah, role itu kena ada dalam diri para pesilat, bukan semata-mata nak berlawan," katanya.

Di Sungai Burong, calon PAS Mohd Zamri Mohd Zainuldin (gambar, bawah) juga kerap bersiaran langsung di TikTok dan Facebook.

Ketua PAS Tanjong Karang itu merupakan personaliti TV agama terkenal, yang pernah menjadi hos program “Mari Mengaji” di TV9.

Akaun Facebook Zamri mempunyai lebih daripada 1.1 juta pengikut manakala TikToknya mempunyai 160,000.

Penstriman langsung amat penting dalam kempennya. Dia bercakap mengenai pelbagai isu seperti memperkenalkan homestay di Tanjong Karang dan bermain sepak takraw.

Sesi interaksi tidak formalnya dengan penontonnya, yang digelar "sembang santai", mendapat tontonan terbanyak.

Dalam salah satu strim langsungnya dengan pempengaruh “Papa Berry”, Zamri menjawab soalan penyokong PH yang mengatakan Selangor akan menjadi seperti Kelantan jika PN menang negeri itu.

Siapa pemilik pencakar langit di Selangor?

"Bukan kita nak Kelantan-kan Selangor, tetapi apa yang bagus di Kelantan tapi tiada di Selangor kita absorb.

"Apa yang bagus yang boleh diamalkan di Selangor? Gelombang kasih sayang dan perpaduan, ini lain macam,” katanya.

Zamri berkata orang Cina dan India dari Kelantan fasih bertutur Bahasa Malaysia dalam dialek negeri manakala ramai orang bukan Melayu di Tanjong Karang terpaksa menggunakan terjemahan Google apabila kita bercakap lebih pantas. Mereka tidak dapat memahami”.

Katanya, walaupun hubungan antara pelbagai etnik di Kelantan harmoni, keadaan di Selangor tidak sama. Dia memberi contoh rusuhan Kuil Seafield pada 2018.

"Walaupun dari sudut material pembangunan, di Kelantan tak ada sehebat pencakar langit setinggi di Selangor, tapi itu mengaburi mata.

"Siapa ke owner-owner bangunan tinggi tu? Bangsa lain juga bukan bangsa Melayu kita,” katanya kepada pengundi Melayu, mengulang kenyataan ahli politik tertentu bahawa bukan Melayu menimbulkan ancaman kepada kaum Melayu dan agama Islam.

"Tapi kita tengok micro dari sudut ekonomi Kelantan...

"Kota Bharu Mall pernah jadi mall terbaik di Asia, jualan Tesco Extra yang tertinggi adalah di Kelantan, flight domestic top three adalah Kelantan.

"Ini menunjukkan walaupun kerajaannya dipandang miskin, tetapi dari sudut rakyatnya kaya," katanya.

Bagaimanapun, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan Kota Bharu Mall pernah menjadi gedung beli-belah terbaik Asia seperti yang didakwa calon PN ini.

Zamri, 44 akan bertarung menentang calon Umno Mohamad Khir Ramli di Sungai Burong.

Sebagai perbandingan, kebanyakan calon PH dan BN cuma membuat siaran langsung di TikTok hanya apabila berceramah di atas pentas tanpa interaksi.

Ini tidak lebih daripada sekadar ucapan politik sama yang diedarkan melalui medium baru.

Kelebihan di media sosial boleh terbukti menjadi faktor yang mempengaruhi pengundian pada 12 Ogos, terutamanya apabila ia melibatkan pemilih muda.

Lihat Komen
ADS