Amanah Kelantan yakin tawaran dikemukakan BN dan PH negeri itu mampu menawan hati pengundi Kelantan khususnya membabitkan program parkir percuma dan potongan premium tanah.

Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Amanah Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata jika BN dan PH menang pengundian 12 Ogos ini, rakyat Kelantan akan terus menikmati parkir percuma pada 13 Ogos.

“Tawaran kita yang menarik untuk warga Kota Bharu dan seluruh negeri, jika diberi mandat mentadbir, pada 12 Ogos keluar mengundi, esoknya (jika menang) parkir percuma.

“Itu saya rasakan akan ada sambutan dan respons positif daripada rakyat Kelantan di sepuluh jajahan negeri Kelantan,” katanya dalam sidang media Amanah negeri di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan gabungan parti kerajaan perpaduan untuk mengemukakan ‘tawaran emas’ sebagai manifesto pilihan raya negeri (PRN) Kelantan.

Selain itu BN dan PH turut memberi tawaran melibatkan urusan tanah.

Antaranya potongan cukai premium dan pecah sempadan sehingga 50 peratus menambah kakitangan di pejabat tanah dan jajahan serta mengkaji semula pemilikan dan pajakan tanah oleh syarikat swasta serta mengembalikan semula kepada rakyat.

Sementara itu Wan Abd Rahim yang juga pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara berkata, tawaran berkaitan potongan cukai tanah itu antara yang dinanti-nantikan rakyat negeri itu.

“Buat masa sekarang sekiranya rakyat memohon tanah kerajaan kosnya adalah RM3,000 seekar iaitu bayaran penuh berbanding sebelum ini hanya libatkan bayaran permohonan sahaja.

“Perkara ini telah dibincangkan oleh pimpinan BN dan PH Kelantan dan kita setuju untuk dikaji dan diturunkan 50 peratus.

“Begitu juga dengan kos untuk tukar milik dan ubah status tanah. Ini satu tawaran menarik untuk rakyat Kelantan,” katanya.