Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

BN dan PH telah mencapai kesepakatan berkenaan calon menteri besar Kedah sekiranya kedua-dua gabungan itu menang pada PRN pada 12 Ogos ini.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata nama berkenaan hanya akan diumumkan selepas kedua-dua gabungan itu berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya 19 kerusi DUN iaitu majoriti mudah pada PRN ini.

"Kesepakatan ini kami telah capai tetapi kita tidak umumkan...bila kita capai jumlah itu insya-Allah kita akan umumkan," katanya ketika diminta mengulas mengenai calon menteri besar sekiranya gabungan itu berjaya menawan Kedah.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata dia turut menaruh keyakinan golongan muda akan keluar mengundi beramai-ramai pada 12 Ogos ini khususnya untuk memilih calon-calon daripada gabungan BN-PH.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Langkawi perlu dibangunkan semula dalam usaha menarik kehadiran lebih ramai pelancong bagi menjana pendapatan dan ekonomi penduduk di pulau peranginan itu.

Dia berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian segera adalah berkenaan perkhidmatan feri yang dilihat memberi kesan terhadap jumlah kedatangan pelancong ke situ.

Terdahulu, semasa berucap pada Program Desa Cerdas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Taman Nilam, Ayer Hangat di situ, Ahmad Zahid berkata program peringkat kebangsaan dan antarabangsa perlu diadakan setiap bulan di Langkawi bagi menggalakkan industri pelancongan yang turut akan memberi impak kepada pelbagai industri lain.

Dia yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata dengan penganjuran program secara lebih kerap ia akan memberi limpahan rezeki kepada pemain industri khususnya penginapan, pengangkutan dan makanan.

Turut hadir pada program itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS