Menantu pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan bahawa dia melarikan diri, sebaliknya mendakwa meninggalkan negara ini secara sah.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Muhammad Adlan Berhan menjawab kenyataan akhbar yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 7 Ogos lalu, yang memaklumkan agensi itu sedang mengesan lelaki berusia 48 tahun itu serta Mansoor Saat, 69.

Adlan berkahwin dengan Nabilah, anak kedua Muhyiddin.

"Kenyataan akhbar itu setakat ini bertujuan untuk memberikan tanggapan bahawa anak guam kami adalah seorang pelarian yang melarikan diri, anak guam kami menolak sama sekali, tohmahan sedemikian.

"Anak guam kami, seperti mana-mana warganegara Malaysia yang bebas, mempunyai hak untuk bergerak dan melancong, termasuk ke luar negara, dan lebih-lebih lagi untuk menjalankan perniagaannya di mana-mana tempat di dunia.

"Penggunaan hak ini oleh anak guam kami tidak boleh ditafsirkan atau dikelirukan sebagai percubaan untuk mengelak atau menghalang siasatan.

"Anak guam kami menyatakan bahawa sebelum dia meninggalkan Malaysia secara sah, dia: tidak pernah ditangkap; (dan) tidak pernah dipanggil oleh SPRM untuk berjumpa atau untuk membantu dalam apa-apa jenis siasatan," kata peguam Adlan, Baljit Singh Sidhu.

SPRM sebelum ini berkata, kedua-dua individu itu dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung projek pendaftaran dan penyimpanan maklumat biometrik pekerja asing.

Baljit hari ini berkata anak guamnya telah dihubungi pegawai SPRM dan telah menjawab secara bertulis dalam bentuk surat bertarikh 3 Jun.

Peguam itu menjelaskan bahawa dalam surat itu, Adlan berkata dia berlepas ke luar negara atas urusan perniagaan dan akan kembali setelah urusan tersebut selesai.

Tarikh yang belum dapat dipastikan

Baljit berkata Adlan telah menyatakan tarikh yang belum dapat dipastikan untuk pulang dan terkesan dengan kenyataan SPRM bahawa terdapat "usaha untuk memburu dan menuding jari terhadapnya yang dirancang dengan tujuan mengenakannya sepenuhnya".

"Sehingga kini, anak guam kami belum menerima jawapan rasmi daripada SPRM," kata peguam itu.

Baljit berkata, dalam surat yang sama, Adlan turut menegaskan terdapat amalan luar biasa dalam siasatan SPRM termasuk:

  • Akaun syarikatnya dibekukan tanpa notis dan/atau sebab;

  • Akaunnya juga dibekukan tanpa notis dan/atau sebab;

  • Dia diganggu tanpa henti oleh pegawai SPRM;

  • Dia diugut untuk digambarkan sebagai melarikan diri melalui kenyataan media, dengan namanya disenaraikan dalam notis merah Interpol, dan akan ditangkap serta ditahan sebaik tiba di Malaysia.

“Anak guam kami juga mendapat tahu bahawa larangan perjalanan telah dikenakan ke atasnya kerana pasportnya telah diklasifikasikan sedemikian oleh Jabatan Imigresen.

“Anak guam kami menafikan sekeras-kerasnya sebarang pendapat bahawa dia tidak boleh dihubungi dan menyatakan bahawa dia sedang berhubung dengan pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dalam siasatan.

“Dia sentiasa menyatakan bahawa dia sedia untuk bekerjasama dalam mana-mana siasatan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang tetapi tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ancaman terhadapnya dan keluarga.

“Perkara yang dinyatakan di atas jelas membuktikan bahawa siasatan tidak dijalankan secara objektif dalam rangka kerja undang-undang dan sekali gus mengancam kebebasan anak guam kami yang dilindungi oleh Perlembagaan (Persekutuan).

Berdepan krisis kewangan

"Anak guam kami menyatakan bahawa dia disasarkan tanpa mengikut undnag-undang dan atas sebab itu, dia telah mengalami kerosakan yang tidak terkira dan berada di ambang kehancuran kewangan.

“Reputasinya rosak teruk. Secara peribadi, dia mengalami penderitaan mental dan trauma. Keluarganya terus menderita,” kata Baljit.

Peguam itu berkata anak guamnya menyatakan dengan jelas bahawa dia bukan ahli politik dan terkejut dengan sebarang usaha untuk menjadikannya sebagai alat bagi mendapatkan batu loncatan politik oleh sesiapa sahaja termasuk oleh agensi penyiasat.

“Dia bukanlah sasaran yang mudah untuk digunakan bagi menyerang atau menjatuhkan mana-mana ahli politik.

"Masa kenyataan akhbar dikeluarkan yang begitu hampir dengan pilihan raya negeri, bagi anak guam kami, menunjukkan bahawa terdapat unsur politik dalam seluruh proses tersebut.

"Kenyataan media yang meminta bantuan untuk mengesannya sama sekali tidak perlu. Ia juga cubaan untuk memburuk-burukkan dan mengaibkan anak guam kami.

“Anak guam kami juga terkejut apabila Perdana Menteri menganggapnya wajar untuk mengulas mengenai isu ini yang menunjukkan terdapat sesuatu plot yang cuba dimainkan.

"Anak guam kami secara tegas menyatakan bahawa dia tidak bersalah dan berhak untuk tidak dihakimi menerusi pendapat umum oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.

"Dia bersedia membantu dalam sebarang siasatan dan mempunyai kepercayaan penuh terhadap proses kehakiman tetapi pada masa yang sama akan melindungi hak dan kebebasannya daripada diragut tanpa mengikut undang-undang,” kata Baljit.

Peguam itu menambah, anak guamnya menegaskan bahawa dia tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan yang perlu bagi melindungi, memelihara dan membela haknya seperti yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.