Pemuda PAS P Pinang dakwa ada usaha 'manipulasi' undi
Pemuda PAS Pulau Pinang hari ini mendakwa wujudnya usaha terdesak untuk memanipulasi undi semasa hari pengundian menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.
Memetik "sumber yang boleh dipercayai" PAS mendakwa penipuan itu membabitkan “pengundi hantu” yang menggunakan kad pengenalan (IC) yang diambil daripada pengundi dengan balasan berbentuk wang.
“Modus operandinya adalah dengan mendapatkan dan mengumpulkan sebanyak mungkin IC pengundi di sesuatu DUN, terutamanya anak muda dengan balasan berbentuk wang. Kemudian IC tersebut akan digunakan oleh pengundi hantu untuk mengundi sesuatu parti tertentu.
“IC tersebut hanya akan dipulangkan semula kepada pemilik sebenar selepas pilihan raya selesai,” kata Pemuda PAS negeri itu dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut mereka, terdapat juga perancangan untuk membawa masuk kertas undi secara haram dengan kaedah menukar peti undi untuk memenangkan sesuatu parti tertentu.
“Pilihan raya sepatutnya menjadi sebuah padang yang rata untuk semua pihak bertanding secara sihat dalam suasana demokrasi yang matang, tidak kira sama ada yang bertanding itu adalah parti daripada kerajaan semasa, pembangkang mahupun calon bebas.
“Skandal penipuan pilihan raya seperti ini tidak akan mematangkan demokrasi di negara ini. Malah, membawa Malaysia semakin terbelakang dengan kaedah lapuk untuk memenangi pilihan raya
“Pada pusingan terakhir ini, kami menjangkakan lebih banyak cubaan terdesak dan jenayah penipuan yang cuba dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sematamata untuk beroleh kemenangan dalam pilihan raya ini,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/4e3cfe13906f50641849877eeb8b86ae.jpg)
