Tindakan Ramasamy tak jejaskan kempen PH
Keputusan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy meninggalkan DAP tidak menjejaskan kempen PH bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata dia sudah menjangkakan tindakan Ramasamy berikutan nama pemimpin terbabit tidak diumumkan sebagai calon bagi PRN Pulau Pinang, selain turut terkilan dengan keputusan berkenaan.
"Kita (DAP) dukacita apabila seorang pemimpin sebelum ini diberi banyak peluang oleh parti selama tiga penggal menjadi timbalan ketua menteri bertindak sebegini apabila dia tidak diberikan kerusi (pada PRN ini), tetapi perjuangan parti tetap diteruskan.
"Individu, pemimpin datang dan pergi, paling penting parti kekal kuat. Tiada mana-mana individu yang lebih besar daripada parti," katanya ketika ditemui selepas program santai minum pagi bersama masyarakat di Kampung Chennah, Jelebu hari ini.
Menteri Pengangkutan itu berkata sepatutnya Ramasamy tidak bertindak keluar parti walaupun tidak dicalonkan dalam PRN kerana terdapat pemimpin lain yang juga gugur namun memilih untuk kekal bersama parti.
Bahkan, kata Loke, mereka membantu PH berkempen demi misi kemenangan gabungan parti dalam kerajaan perpaduan.
“Bagi saya apabila seorang itu tidak lagi mendapat jawatan dalam parti, maksudnya keberadaan dalam parti tiada keikhlasan.
"Adakah selama ini mereka hanya tunggang parti demi jawatan? (Apabila) tiada jawatan terus keluar parti," katanya.
Ada kelebihan akar umbi
Pagi tadi Ramasamy melepaskan semua jawatan dalam DAP dan keluar dari parti terbabit. Langkahnya itu sudah dimaklumkan kepada Loke, selain Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Ramasamy digugurkan dalam barisan calon PH bagi PRN Pulau Pinang dan tempatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai digantikan dengan S Sundarajoo.
Calon DAP itu berdepan saingan empat penjuru bagi mengekalkan kerusi berkenaan pada hari pengundian Sabtu ini.
Sementara itu, Loke berkata, keyakinan dilaungkan pemimpin PN bahawa mereka boleh memenangi lima daripada enam negeri dalam PRN kali ini hanya perang saraf demi memotivasikan ahli-ahli mereka.
Mengambil contoh situasi di Negeri Sembilan, Loke berkata, PN tidak mempunyai akar umbi yang kuat, dan keadaan itu berbeza dengan BN dan PH yang ada kekuatan tersendiri.
Keadaan itu katanya mendorong keyakinan gabungan tersebut mendapat sokongan daripada rakyat dan meraih kemenangan nanti.
“Negeri Sembilan - bukan kita berasa sombong - tetapi ada kekuatan akar umbi di peringkat BN dan PH.
"Ini ditunjukkan dalam trend pola pengundian bukan kita nak rendahkan pihak lawan tetapi PAS, Bersatu tiada kekuatan akar umbi di sini,” katanya.
Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dilaporkan berkata PN yakin memenangi lima daripada enam negeri dalam PRN kali ini namun mengakui sebuah - Pulau Pinang - disifatkan agak sukar.
Loke yang juga calon PH bagi kerusi DUN Chennah berkata dia yakin gabungan PH-BN dapat menolak gelombang PN dan mencapai sasaran memenangi 36 kerusi DUN Negeri Sembilan berdasarkan keputusan baik kedua-dua parti itu tersebut pada PRU ke-15 lalu.
Katanya dalam PRU berkenaan BN mendominasi lima kerusi parlimen manakala PH tiga lagi kerusi. Keputusan itu dakwa Loke jelas menunjukkan pola pengundian berpihak kepada dua parti tersebut.
"Kita harap akan capai sasaran 36 kerusi. Memang ada beberapa kerusi agak panas tapi saya yakin undi bagi PH-BN - setelah dicampurkan - memang akan lebih.
"Gelombang yang dikatakan pada PRU ke-15 lalu tak sampai di Negeri Sembilan, di sini tiada gelombang PN,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang serta pilihan raya kecil bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian Sabtu ini.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/1b1603d2dcfb4355d1cde867dc97c1b0.jpg)
