Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Kerajaan pusat akan terus kekal dan kukuh lepas PRN
Diterbitkan:  Aug 13, 2023 12:24 AM
Dikemaskini: 4:28 PM

Kerajaan pusat akan tetap kukuh selepas pilihan raya di enam negeri, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Bagi ke pihak kerajaan perpaduan saya ingin beri jaminan terutama kerajaan persekutuan yang terus kekal dan kukuh selepas PRN ini,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Pilihan raya hari ini menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menambah penguasaan dengan menang bergaya di negeri masing-masing, di samping mengasak gabungan PH dan BN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Pemimpin kanan PN Abdul Hadi Awang semasa tempoh berkempen sebelum ini mendakwa akan berlaku perubahan kerajaan pusat jika keputusan hari ini memihak kepada mereka.

Malaysia kini mempunyai undang-undang antilompat parti bagi mengekang anggota parlimen melompat parti. 

Bagaimanapun sesebuah parti itu boleh mengalihkan sokongan kepada sesuatu gabungan.

Sementara itu, Anwar juga berkata pemimpin kerajaan juga akan terus bertungkus-lumus bekerja untuk membangunkan Malaysia Madani yang diihamkannya.

“Insya-Allah mulai Isnin kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa tetapi lebih tekun dan keras bekerja supaya Malaysia akan mencipta kejayaan yang dibanggakan,” katanya.

Sementara itu, berucap di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur sebentar tadi, Anwar mengucapkan penghargaan kepada parti-parti kerajaan kerana berjaya mengekalkan kemenangan di tiga negeri.

“Ini berlaku kerana permuafakatan yang tercapai dan terjalin di kalangan semua parti dan rakan-rakan dari parti Sabah Sarawak, walaupun tidak bertanding turut memberikan dukungan yang cukup hebat juga kepada semua yang lain,” katanya.

Anwar juga menyeru semua pihak menghormati keputusan rakyat, bersilaturahim dan menjaga keamanan negara susulan keputusan hari ini.

Berikut rumusan keputusan pilihan raya negeri hari ini:

  • PH-BN hilang majoriti dua per tiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

  • PN menambah kerusi di Pulau Pinang.

  • Daripada kosong dalam pilihan raya umum lalu, PN kini mendapat lima kerusi di Negeri Sembilan.

  • PN mengukuhkan penguasaan dengan menang besar 43-2 di Kelantan.

  • PN menyapu bersih 32 kerusi di Terengganu.

Lihat Komen
ADS