Paling Popular
Terkini

PAS Kelantan akan persembahkan nama calon menteri besar baru kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, esok.

Ia selepas selesainya perbincangan kepimpinan PAS Pusat dan kepimpinan negeri dalam menentukan tokoh yang akan mengetuai pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Perkara itu dimaklumkan Pesuruhjaya PAS negeri Ahmad Yakob ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan, malam ini.

“Tunggulah hari Selasa (15 Ogos) akan angkat sumpah jam 3 petang.

“Nama (calon) satu, dua, tiga, empat itu tak penting, yang pentingnya kita hantar kepada tuanku untuk dipilih sebagai menteri besar.

“Dah ada (calon) watikah presiden akan diangkat kepada tuanku, tunggulah,” katanya di Kota Bharu, Kelantan malam ini.

Turut hadir mesyuarat berkenaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib-Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah dan Ahmad Samsuri Mokhtar.

Terdahulu PAS membuat pengumuman khas berhubung cadangan tawaran perubahan bagi jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar Kelantan.

Pengumuman di akhir hari-hari kempen pilihan raya negeri itu sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai individu yang bakal menggantikan posisi ditinggalkan Ahmad.

Semalam keputusan pilihan raya negeri (PRN) negeri menyaksikan PAS berjaya mempertahankan kerajaan Kelantan yang ditadbir sejak 33 tahun lalu selepas menang 43 kerusi daripada keseluruhan 45 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pembangkang pula hanya menang dua kerusi, masing-masing satu daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Lihat Komen
ADS