Ezam kecam campurtangan pemimpin dalam pemilihan parti
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor mengecamkan campurtangan pucuk pimpinan Parti Kadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu hujung minggu ini.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor mengecamkan campurtangan pucuk pimpinan Parti Kadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu hujung minggu ini.
Malah, beliau mengaku telah menasihatkan Setiausaha AMK, SD Johari Yassin supaya menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan parti, semasa Johari datang mendapatkan nasihatnya.
Ezam, yang melepaskan jawatannya Februari lalu, membidas sikap prejudis kepimpinan parti terhadap Johari.
"Saya telah menasihatkan Johari supaya menarik diri dan menumpukan perhatian membantu saya dalam Gerak," kata Ezam ketika dihubungi hari ini.
"Adalah sukar bagi beliau untuk terus berada dalam pergerakan itu apabila wujud sikap prejudis seperti itu. Itu pandangan peribadi saya kepada seorang sahabat," katanya.
Ezam dan Johari adalah kawan karib dan ia adalah alasan yang diberikan oleh Johari bagi menyokong dakwaannya bahawa kepimpinan parti cuba campurtangan dalam pencalonannya untuk bertanding jawatan timbalan ketua AMK.
Johari (foto), yang menerima jumlah pencalonan terbanyak bagi jawatan tersebut, juga mendakwa, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut
campurtangan
dalam pemilihan parti.
Beliau juga mendakwa bahawa Anwar telah mengarahkan pemangku AMK, Shamsul Iskandar Md Akin mencari jalan supaya beliau kalah dalam pertandingan jawatan timbalan ketua AMK.
Tiada bukti kukuh
Ezam bagaimanapun agak berhati-hati ketika diminta mengulas dakwaan Johari itu.
"Saya tiada bukti kukuh bahawa Anwar terbabit tetapi saya tahu ada pemimpin lain dalam parti itu di belakang semua ini. Kita patut tanya mengenai motif dan alasan mereka berbuat demikian.," katanya, tetapi enggan menyebut nama mereka yang didakwanya terbabit.
Ditanya sama ada beliau merujuk kepada Azmin Ali (foto), seorang naib presiden yang berpengaruh yang tidak sehaluan dengannya, Ezam berkata: "Anda boleh membuat tafsiran sendiri."
Ezam berkata, beliau kecewa kerana bekas orang kanannya itu menjadi 'mangsa prejudis' hanya kerana terdapat pemimpin parti itu yang tidak sehaluan dengannya (Ezam).
"Mereka tidak sepatutnya menghukum orang lain dalam parti (kerana rapat dengan saya)," katanya.
Menjawab soalan lain, Ezam berkata, hubungannya dengan Anwar tidak terjejas sepertimana yang dispekulasikan oleh sesetengah pihak.
"Saya tidak ada masalah dengan beliau. Saya turut berkempen di Ijok dan saya masih mempertahankan perjuangan untuk reformasi, (maka) tidak timbul sebarang isu dalam hubungan saya dengan Anwar," tegasnya.
'Serah pada AMK'
Anwar tidak dapat dihubungi hari ini untuk mendapatkan ulasannya tetapi pegawai penyelaras politik penasihat PKR itu, Sim Tze Tzin berkata, bekas timbalan perdana menteri itu menyerahkan perkara itu untuk diselesaikan dalam AMK sendiri.
"Beliau telahpun mengulas mengenainya semalam. Beliau kini mahu menumpukan perhatian membuat persediaan bagi kongres (parti)," kata Sim ketika dihubungi.
Dengan Johari menarik diri, jawatan timbalan ketua AMK akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Fariz Musa dan Zamakhsari Ibrahim.
Jawatan ketua AMK pula akan menyaksikan pertandingan antara Shamsul Iskandar dengan ketua PKR bahagian Parit Sulong, Hasmi Hashim.
Kongres nasional PKR itu akan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini bertempat di sebuah sekolah tinggi di Seremban. Berita asal

