Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tiada lagi ruang atau alasan bagi anggota polis untuk menerima rasuah selepas kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam.

Sebaliknya, kata beliau, tindakan tegas menunggu pegawai atau anggota yang masih sanggup menerima rasuah selepas kenaikan gaji itu.

"Kalau mereka terima rasuah juga, tanggunglah sendiri akibatnya. Saya tidak akan beri nasihat lagi, tindakan akan diambil serta merta terhadap pegawai atau anggota yang terlibat.

Penjawat awam perlu menumpukan perhatian serta memikul amanah dengan jujur dan bersama menambah baik mutu perkhidmatan awam bagi memastikan kelicinan pengurusan PDRM (Polis Diraja Malaysia)," katanya.

Beliau menegaskan demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Khas Pegawai Awam PDRM Bersama Ketua Polis Negara sempena Sambutan Hari Polis ke-200, di Kuala Lumpur hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Anggota dan pegawai PDRM serta Angkatan Tentera Malaysia menerima kadar kenaikan gaji antara 9 dan 42 peratus, 20 peratus lebih tinggi daripada peratus kenaikan gaji kakitangan awam lain.

Musa berkata, dengan kenaikan gaji yang bermula 1 Julai, anggota polis perlu memberi sepenuh tumpuan kepada tugas tanpa perlu lagi melakukan kerja sampingan untuk menampung perbelanjaan harian atas alasan berpendapatan rendah.

Tiada lagi kerja sampingan

Beliau bagaimanapun yakin dengan kenaikan gaji itu, masalah rasuah di kalangan anggota polis akan berkurangan.

Sejak dulu lagi masalah rasuah dipandang serius dan PDRM tidak pernah berkompromi dengan mana-mana anggota atau pegawai yang terlibat dengan gejala tersebut, katanya.

Beliau berkata, PDRM menjalin hubungan rapat dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan sering mengadakan mesyuarat bersama untuk memberi pandangan mengenai cara memperketatkan prosedur menangani gejala rasuah di kalangan anggota.

"Saya telah arahkan pegawai saya untuk membuat pemantauan secara berterusan sebagai usaha membendung gejala ini daripada terus merebak di kalangan warga PDRM dan setiap pekerja perlu akur dengan undang-undang.

Di samping itu penerangan serta pendedahan maklumat mengenai rasuah juga akan sentiasa disalurkan untuk memastikan warga PDRM dapat mengambil pengajaran daripadanya," kata Musa