Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan pro-PH harap Adun India PKR jadi exco Selangor

Selepas dua penggal memberikan ruang kepada Adun India dari DAP, sebuah persatuan berharap menteri besar Selangor nanti akan memilih wakil dari PKR pula untuk mewakili kaum berkenaan.

Menurut Persatuan Eksekutif India Selangor (Peis) pada 2008 wakil rakyat berbangsa India dari PKR dilantik sebagai exco dalam kerajaan negeri namun kemudian ia diberikan kepada DAP pada 2013 dan 2018.

"Kami harap pada kali ini, PKR kembali diberi jawatan exco untuk mewakili kaum India di Selangor.

"Tetapi apa pun keputusan terakhir terserah kepada keputusan pucuk pimpinan PH," kata Pengerusi Peis Dr Sathia Prakash Nadarajan kepada Malaysiakini.

Peis merupakan sebuah organisasi yang terdiri daripada semua ketua cabang PKR Selangor yang berbangsa India. Menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari merupakan penaungnya.

Daripada semua 22 cabang PRK yang ada di Selangor, lapan daripadanya diketuai pemimpin berbangsa India.

Untuk rekod, ekoran keputusan PRU ke-12 pada 2008, Dr A Xavier Jeyakumar dilantik sebagai exco ketika Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan negeri buat kali yang pertama di Selangor

Pada PRU berikutnya (2013), Adun Kota Kemuning dari DAP, V Ganabatirau, dilantik menggantikan Jeyakumar dan dia dikekalkan sehingga penggal yang lalu.

V Ganabatirau

Ganabatirau bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi itu pada PRN 12 Ogos lalu kerana dia kini bertugas sebagai ahli parlimen Klang.

"Kami harap pucuk pimpinan PH adil kepada ahli-ahli PKR yang berbangsa India.

"Di Pulau Pinang, DAP mempunyai dua exco berbangsa India. Di Negeri Sembilan sebelum ini parti itu juga mempunyai dua wakil India di kerajaan negeri.

"Maka, wajar exco wakil India diberikan kepada PKR di Selangor kali ini,” kata Sathia Prakash.

Selangor merupakan satu-satunya negeri yang masih tidak mengumumkan menteri besar.

Amiruin sebelum ini berkata pihak istana akan mengumumkan mengenai pelantikan menteri besar dalam masa terdekat.

Amirudin Shari

Amirudin yang juga pengerusi PH Selangor berkata sesi menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berlangsung petang semalam adalah bagi memaklumkan perkembangan semasa negeri itu.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor pada Sabtu lepas menyaksikan gabungan PH dan BN menguasai 34 kerusi manakala PN mendapat 22 kerusi.

Sebelum ini, Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menamakan Amirudin sebagai calon menteri besar Selangor sekiranya gabungan PH-BN memenangi PRN itu.

Seramai empat calon India dari PH memenangi kerusi masing-masing dalam PRN lalu iaitu Rajiv Rishyakaran (DAP - Bukit Gasing), Preakas Sampunathan (DAP - Kota Kemuning) dan Papparaidu Veraman (DAP - Banting) dan Gunaraj George (PKR - Sentosa).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS