Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fitnah kononnya saya lahir di China - Kit Siang
Diterbitkan:  Aug 18, 2023 3:13 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Veteran DAP Lim Kit Siang menyangkal dakwaan bahawa dia dilahirkan di China seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Sebaliknya bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menegaskan dia dilahirkan di Batu Pahat Malaysia pada 1941.

Malah, kata Lim, kali pertama dia menjejakkan kaki ke China adalah ketika berusia 50an.

"Episod di mana kononnya saya mengamuk ini dikatakan terjadi semasa saya ditanya oleh seorang wartawan di lapangan terbang mengenai di mana saya dilahirkan, sedangkan perkara ini direka semata-mata dan tidak pernah berlaku sama sekali.

"Fitnah yang cuba mengatakan bahawa saya bukan anak kelahiran tempatan, kononnya saya datang dari China ketika saya berusia 16 tahun sebelum menetap di Batu Pahat pada tahun lima puluhan adalah penipuan semata-mata,” jelasnya.

Lim berkata dia tidak pernah menyorokkan fakta bahawa dia dilahirkan di Batu Pahat pada 20 Februari 1941, selain bersekolah selama 11 tahun dan membesar di daerah itu.

Klip video tular di TikTok

Penjelasan itu dibuat selepas video mengenai isu itu, yang dimuat naik empat tahun lalu di Youtube, menjadi tular di TikTok.

Video berkenaan memaparkan perbincangan empat individu dengan menjadikan isu tempat lahir Lim sebagai salah satu subjek perbincangan mereka.

"Di tempat pertama top 5 untuk minggu ini, berita paling hangat untuk minggu lepas iaitu Lim Kit Siang telah mengamuk bila wartawan bertanyakan soalan tempat lahir beliau," kata salah seorang invidivu dalam program bual bicara berkenaan.

“Kelakarlah Lim Kit Siang, yang mengamuk tu kenapa, yang marah tu kenapa,” katanya.

“Bukan orang cakap kau lahir dekat longkang pun,” sampuk salah seorang wanita dalam program berkenaan.

Video di saluran Youtube Nothing To Hide Media yang dimuat naik sejak 2018 itu, tidak menyatakan sumber berita tersebut.

Klip video yang sama dimuat naik di TikTok oleh pengguna Tok Pala 4s pada 8 Jun 2023 dan menerima lebih 600,000 tontonan serta lebih 2,500 perkongsian.

Klip video di TikTok itu juga memaparkan gambar Lim menerima anugerah Tan Sri daripada Agong.

Pengguna TikTok yang sama berkempen pada pilihan raya negeri Kedah baru-baru ini dan dilantik sebagai wakil calon bebas DUN Kuah, Mazlan Ahmad.

Dalam satu rakaman video, dia meminta penyokong PAS supaya mengundi Mazlan.

Mazlan merupakan bekas timbalan Yang Dipertua PAS Langkawi yang dipecat daripada parti itu kerana bertanding menentang Bersatu, sekutu PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, klip video sama turut dikongsikan di platform media sosial lain.

Klip video lain yang mendakwa Lim dilahirkan di Funan, China juga tersebar di TikTok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS