Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bahagian Padang Besar menyuarakan kebimbangannya terhadap 'politiking' yang berlaku dalam pemilihan AMK yang bakal berlangsung Jumaat ini.

"Kami membantah sekeras-kerasnya sebarang bentuk campurtangan kepimpinan parti dalam pemilihan AMK," katanya dalam kenyataaan yang dikeluarkan oleh biro penerangan AMK bahagian Padang Besar.

"Biarlah perwakilan AMK sendiri yang menentukan siapa yang berhak dipilih oleh mereka tanpa perlu tunjuk ajar oleh sesiapapun," tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, AMK Padang Besar menyeru semua pihak dalam AMK, khususnya dan induk amnya, supaya tidak menyemai bibit-bibit permusuhan antara satu sama lain yang berasaskan kumpulan atau bangsa atau ideologi masing-masing.

"Marilah kita berkongres dengan penuh semangat persaudaraan dan memfokuskan kepada agenda untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum yang dijangkakan diadakan dalam tahun ini juga," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah milik semua ahli dan pendokong keadilan dan kebenaran.

"PKR bukan milik mana-mana individu atau dinasti! PKR adalah parti yang memperjuangkan rakyat, bukannya sebuah parti yang ditubuh untuk memperjuangkan agenda peribadi sesiapapun.

Elak agenda peribadi

"Fokus kita wajib terarah kepada penggubalan satu polisi untuk kesejahteraan rakyat bukannya memperjuangkan agenda peribadi.

"Rakyat yang hari ini semakin dihimpit dengan kenaikan kadar inflasi dan kos hidup yang semakin tinggi, amat memerlukan sebuah parti yang benar-benar ikhlas, telus dan amanah untuk menyelesaikan permasalahan mereka," tambahnya.

Di samping menjurus kepada memperjuangkan rakyat, katanya, PKR juga wajib menyediakan pelan bertindak seberapa segera untuk memastikan pilihanraya umum kali ini benar-benar bebas dan adil.

AMK Padang Besar menyokong sebarang agenda pilihanraya atau pilihan jalanraya demi menjatuhkan penguasa yang korup dan mementingkan 'tauke'.

"AMK Padang Besar ingin mengucapkan selamat berkongres kepada seluruh perwakilan yang akan berkampung di Seremban hujung minggu ini.

"Kami mendoakan agar semangat kongres ini dapat diterjemahkan dengan kemenangan besar PKR dan rakan-rakan pembangkang dalam pilihanraya umum nanti," katanya.